Berita

Belanjawan 2015: Peruntukan untuk siasatan jenayah lebih rendah daripada Cawangan Khas

BUKIT MERTAJAM, 12 OKT: Berdasarkan Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Khas (SB) menerima peruntukan lebih tinggi berbanding Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, berbanding Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, peruntukan SB mencatat kenaikan 12 peratus, iaitu RM47 juta, berbanding JSJ yang hanya mencatat kenaikan 2.5 peratus, bersamaan RM13.1 juta.

Berdasarkan Laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Khas (SB) menerima kenaikan peruntukan lebih tinggi berbanding Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Dalam kata lain, SB mendapat kenaikan peruntukan lebih tiga setengah kali ganda berbanding JSJ,” kata Steven dalam satu kenyataan.

Menurut Sim, peruntukan perkapita 2015 bagi setiap anggota SB berjumlah RM53,000, manakala bagi JSJ adalah RM34,000 setiap anggota.

Ujarnya, walaupun bukan semua peruntukan tersebut merupakan gaji dan emolumen, namun ini menunjukkan kerajaan menyalurkan 56 peratus lebih banyak sumber kewangan kepada anggota SB berbanding JSJ.

Jelas Steven, peruntukan untuk SB dalam belanjawan kali ini merangkumi kira-kira enam peratus peruntukan PDRM, berbanding tujuh peratus bagi JSJ.

“Anggota JSJ berdepan dengan penjenayah yang kian hari kian mengganas, sudah tentu memerlukan sumber lebih besar bagi menjamin keberkesanan operasi serta keselamatan anggota mereka,” kata Sim.

Dalam pada itu kata Sim, SB menghasilkan 368,900 laporan risikan pada 2013, termasuk risikan politik terutamanya terhadap pembangkang, manakala 28,162 daripada 147,062 kes jenayah yang berjaya diselesaikan JSJ

“Ini bermakna setiap hari SB menghantar lebih 1,000 laporan risikan kepada pihak kerajaan, manakala JSJ hanya berjaya menyelesaikan 19 peratus kes jenayah dari fail siasatan yang dibuka.

“Ini jelas menunjukkan unit SB yang seringkali dikritik sebagai polis unit politik untuk membuat intipan terhadap ahli dan penyokong pembangkang diberi lebih tumpuan, berbanding JSJ, unit yang membanteras jenayah,” kata Sim.

Justeru itu kata Sim, Belanjawan 2015 tidak mencerminkan usaha kerajaan untuk melaksana pembaharuan berdasarkan cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Polis 2005 dan masyarakat sivil untuk merombak SB serta mengurangkan peranan PDRM dalam politik demi mengembalikan martabat institusi itu dan menjaga kesejahteraan rakyat. – Roketkini.com