Berita

Pertemuan rahsia pemimpin Umno dan Peguam Negara, PR gesa Gani dedah nama

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pakatan Rakyat (PR) hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk mendedahkan nama semua ketua bahagian Umno yang hadir dalam pertemuan tertutup dengannya pada 14 Ogos lalu.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, pendedahan tersebut perlu dinyatakan berikutan ia membawa tanggapan negatif kepada masyarakat mengenai ketelusan seorang Peguam Negara.

“Kami ingin mengetahui apakah selama ini Gani sememangnya bertindak menurut arahan pemimpin Umno?

“Siapa dan bahagian manakah pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam pertemuan kontroversi tersebut?

“Mengapa baru sekarang Gani mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang sudah lama dibuat oleh ahli-ahli Umno sejurus selepas pertemuan itu? Semua ini wajib dijawab,” katanya dalam sidang media bersama Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan aktivis lain.

Mohamad Sabu menegaskan, sekiranya Gani gagal menjawab, persepsi orang awam bahawa beliau telah menyalahguna kuasa untuk kepuasan parti pemerintah kini terbukti benar.

“Keyakinan orang awam terhadap kebebasan dan pentadbiran keadilan yang adil juga kini tergugat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Gani agar menasihati kerajaan supaya memansuhkan akta drakonian iaitu Akta Hasutan dengan segera.

“Gani perlu menasihati pimpinan kerajaan kerana Najib (Perdana Menteri) telah berjanji untuk menarik balik kesemua pendakwaan ke atas semua individu yang didakwa,” tegasnya. -Roketkini.com