Berita

PR sokong Gerakan Hapus Akta Hasutan, seru meriahkan majlis makan malam 27 Oktober

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyatakan komitmen penuh dan akan membantu Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

“Kami akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara bagi melawan akta zalim ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai untuk bersama-sama menyertai Jamuan Makan Malam Mengumpul Dana bagi menggembleng usaha agar matlamat berkenaan dapat dicapai.

Jamuan Makan Malam Mengumpul Dana GHAH tersebut akan diadakan pada 27 Oktober 2014 bertempat di Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bermula jam 8.30 malam.

Hadir sama dalam sidang media tadi adalah Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen PKR Batu Tian Chua, Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, aktivis Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Pengarah Eksekutif Suaram Yap Swee Seng.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut menyeru orang ramai yang cintakan keadilan dan hak asasi untuk hadir beramai-ramai ke majlis jamuan nanti.

“Saya menyeru sesiapa saja yang menyokong usaha ini agar hadir beramai-ramai.

“Ini penting kepada kita semua, bukan saja untuk memastikan akta zalim ini dapat dimansuhkan, tapi menarik semula segala pendakwaan serta pertuduhan yang dikenakan kepada pemimpin pembangkang, aktivis, iman, pelajar dan lainnya,” tegasnya.

Majlis Makan Malam itu nanti akan diserikan dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan.

Selain bacaan puisi oleh beberapa nama yang akan diberitahu kelak, persembahan teater arahan Hishamuddin Rais bertajuk Bilik Kabinet juga akan dipentaskan.

Bilik Kabinet merupakan kesinambungan kepada teater Bilik Sulit yang telah dipentaskan di hampir seluruh negara, termasuk di United Kingdom beberapa  bulan lalu.

Tiket Majlis Makan Malam Bantah Akta Hasutan berharga RM100 (biasa), RM500 dan RM1,000 (utama) dan mereka yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi Sekretariat GHAH di talian 019-446996 (Azhar) 011-23434563 (Mokhtar) dan emel ke alamat [email protected] atau menghubungi Ibu Pejabat PAS. – Roketkini.com