Berita

SAJH diminta dedah laporan kewangan dalam sidang DUN Johor

SEGAMAT, 12 OKT:  Kerajaan Johor digesa membentangkan laporan kewangan Syarikat Air Johor Holdings Berhad (SAJH) dalam persidangan Dewan Negeri akan datang sebelum sebarang keputusan kenaikan tarif air.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor Dr Boo Cheng Hau berkata, penjelasan wajar diberikan tentang mengapa tarif air di negeri ini adalah yang termahal di Malaysia, sedangkan Johor mempunyai sumber air yang banyak.

Menurut Dr Boo, kerajaan negeri telah membuat pinjaman RM700 juta daripada kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf bekalan air pada tahun 1990-an, bertujuan mengurangkan kehilangan kadar air tidak terhasil (NRW) yang dijangka berjumlah RM90 juta setahun.

“Tetapi setakat ini negeri Johor masih kehilangan (NRW) sebanyak 27 peratus setahun,” kata Dr Boo dalam satu kenyataan.

Menurutnya, di bawah Akta Industri Air 2006, SAJH mengenakan caj keatas aset syarikat Pengurusan Aset Air Berhad yang diurus kerajaan persekutuan pada tahun 2009 selepas membuat pinjaman berjumlah RM 4.03 billion.

Dari pinjaman itu, sejumlah RM 3.18 billion digunakan untuk menjelaskan hutang termasuk RM2 billion bon Islam dan pinjaman bank.

Pada hujung tahun 2008 dilaporkan, aset SAJH berjumlah RM 7.5 billion, manakala liabiliti dan hutang berjumlah RM 7 billion.

“Bermakna SAJH mempunyai baki RM850 juta selepas menjelaskan hutang, dan baki terbaru sewajarnya dilaporkan kepada persidangan Dewan Negeri akan datang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai itu.

Dr Boo turut mempersoalkan sebab pinjaman tersebut tidak disalurkan untuk mewartakan Empangan Bekok, Sembrong dan Machap sebagai kawasan tadahan, sedangkan kerajaan persekutuan meluluskan projek menaik taraf empangan tersebut sebagai kawasan tadahan air.

“Salah urus SAJH merupakan faktor utama mengakibatkan kerugian dan hutang besar. Kerajaan negeri sewajarnya meningkatkan ketelusan pengurusan SAJH sebelum sebarang keputusan kenaikan tarif air dalam negeri Johor dipertimbangkan,” ujarnya. – Roketkini.com