Berita

GHAH seru rakyat sertai serahan petisyen bantah Akta Hasutan di Parlimen 11 Nov

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) hari ini melancarkan kempen petisyen rakyat bagi menyeru parlimen mengkaji semula penyalahgunaan Akta Hasutan dan seterusnya memansuhkan undang-undang tersebut.

GHAH dalam kenyataannya hari ini berhasrat mengumpul 10,000 tanda tangan melalui satu petisyen yang akan diserahkan kepada ahli parlimen 11 November depan.

“GHAH menyeru orang ramai untuk turut hadir ke parlimen untuk menyokong penyerahan petisyen rakyat.

“Kami turut mengalu-alukan kempen berjalan kaki secara aman dianjurkan Majlis Peguam untuk menyokong pemansuhan Akta Hasutan dari Padang Merbok ke Parlimen pada 16 Oktober depan,” kenyataan GHAH dipetik.

Dalam pada itu GHAH menyelar penggunaan Akta Hasutan keatas pensyarah Universiti Malaya, Profesor Dr Azmi Sharom, yang jelas menyekat hak golongan akademik memberikan pandangannya dari sudut undang-undang.

GHAH turut mempersoalkan rayuan balas Pejabat Peguam Negara untuk menambah hukuman terhadap keputusan kes hasutan Adam Adli dari penjara 12 bulan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 19 September lalu.

Sementara itu, GHAH dalam kenyataannya menuntut Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk tampik menerangkan kepada orang ramai berhubung pendedahan mesyuarat bersama 60 ketua-ketua Umno bahagian pada 14 Ogos lalu.

Menurut GHAH, difahamkan pemimpin bahagian Umno menuntut Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk bertindak terhadap laporan polis yang dibuat terhadap pengkritik kerajaan.

“Tidak lama selepas mesyuarat ini, para pengkritik kerajaan satu demi satu disiasat dan didakwa, bermula dengan Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran pada 19 Ogos dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada 24 Ogos 2014.

“Menurut dokumentasi SUARAM, terdapat sekurang-kurangnya 20 kes sedang disiasat dan 12 kes pendakwaan di bawah Akta Hasutan pada 2014.

“Hanya enam kes siasatan dan empat pendakwaan lebih awal dari mesyuarat Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dengan pemimpin Umno bahagian,” kenyataan GHAH dipetik.

Tambah GHAH, peningkatan mendadak siasatan dan pendakwaan terhadap pengkritik kerajaan di bawah Akta Hasutan selepas 14 Ogos jelas menimbulkan persoalan dan kebimbangan sama ada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara kini bertindak sebagai alat politik Umno.

“Kami menyeru Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mengambil tanggungjawab dan memaklumkan kepada orang ramai mengapa kedua mereka bertemu pemimpin bahagian Umno dan apa yang dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat itu,” kenyataan GHAH dipetik. – Roketkini.com