Berita

Kenyataan Najib di perhimpunan MCA bercanggah semua ikrar – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan MCA semalam bercanggah dengan semua ikrar politik yang disebutnya sebelum ini, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Kit Siang, kenyataan Najib itu menunjukkan bahawa slogan beliau sebelum ini, antaranya ‘rakyat didahulukan’, dasar 1Malaysia dalam pentadbiran, pergerakan kesederhanaan global dan hasrat menjadikan Malaysia negara terbaik demokrasi di dunia, hanya omong kosong.

“Bagaimana Najib boleh mengatakan bahawa dia adalah Perdana Menteri untuk semua, sedangkan beliau bersikap tidak adil kepada 52 peratus pengundi Malaysia yang tidak menyokong BN dan terdiri daripada semua kaum?

“Atau, apakah Najib merancang untuk bertindak secara saksama dengan mengecualikan 52 peratus rakyat Malaysia itu daripada membayar segala bentuk cukai termasuk GST yang akan dilaksana April tahun depan?” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan apakah kenyataan Najib semalam mampu mententeramkan suasana dengan dasar 1Malaysia-nya dan merawat semua keadaan, apatah lagi memandangkan 52 peratus pengundi yang menolak BN terdiri daripada semua kaum.

“Nampaknya Najib sendiri tidak cukup diserapkan dengan budaya dan nilai-nilai 1Malaysia,” ujar Kit Siang.

Najib dalam ucapannya di Perhimpunan Tahunan MCA semalam menyatakan bahawa masyarakat Cina tidak wajar menuntut sesuatu daripada kerajaan jika berterusan menyokong pembangkang, khususnya DAP.

Najib dipetik sebagai berkata bahawa masyarakat Cina tidak boleh mengemukakan tuntutan kepada kerajaan tetapi tidak menyokong parti yang memerintah dalam pilihanraya.

“Kamu tak boleh mengemukakan tuntutan (kepada BN) tapi kemudian sokong DAP. (Kalau) kamu minta (sesuatu), kamu sokonglah BN. (Kemudian) kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib.

Kit Siang mengingatkan Najib bahawa aspirasi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama menuntut pentadbiran baik, kebebasan, kesaksamaan ekonomi dan kemajuan dan kecemerlangan pendidikan yang mapan melangkaui sempadan etnik dan perbezaan fahaman politik.

“Ancaman untuk menghukum pengundi yang menjalankan haknya sebagai warganegara dan membuat pilihan dalam pilihanraya umum ke-13 bercanggah dengan semangat wasatiyah dan inisiatif kesederhanaan yang dilaungkan oleh Najib sendiri.

Justeru itu katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik berhak menuntut keadilan daripada mana-mana kerajaan yang memerintah, tanpa mengira siapa yang diundi dalam pilihanraya umum lalu.

“Ini adalah ujian pertama sama ada kita mempunyai sebuah sistem demokrasi yang berperanan dengan baik, sebelum kita boleh bercakap tentang mahu menjadi sebuah negara demokrasi terbaik di dunia,” kata Kit Siang. – Roketkini,com.