Berita

Najib digesa henti perguna angka ekuiti Bumiputera untuk kayakan kroni

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa berhenti memanipulasi angka ekuiti Bumiputera untuk mewajarkan dasar kerajaan yang mengutamakan kroni Umno melalui anugerah saham dan peruntukan belanjawan.

Ketua Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, pengumuman Najib dalam ucapan belanjawan Jumaat lalu bahawa pemilikan ekuiti korporat Bumiputera adalah sekitar 10 peratus bercanggah daripada kenyataannya sebelum ini.

Menurut Chong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar pada 12 Jun 2014 lalu menyebut pemilikan ekuiti bumiputera adalah sebanyak 24 peratus.

“Bagaimana angka ini boleh berubah dengan begitu mendadak dalam masa kurang daripada 4 bulan? Beliau mesti menjelaskan bagaimana jumlah 10 peratus pemilikan ekuiti bumiputera ini muncul.

“Saya menggesa Najib untuk berhenti menggunakan angka ekuiti Bumiputera sebagai usaha berterusan untuk memberikan lebih banyak saham kepada kroni Umno,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Najib, dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat, masyarakat Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus, manakala kawalan yang efektif ke atas syarikat korporat terkini, hanyalah pada sekitar 10 peratus.

Justeru, dalam ucapan belanjawannya Najib mengumumkan peruntukan RM600 juta bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Langkah itu katanya dilakukan kerajaan melalui Ekuinas yang akan melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai RM2.3 bilion dalam pelbagai sektor.

Menurut Chong lagi, rakyat kini menderita akibat kenaikan kos sara hidup dan pemberian lebih banyak saham kepada kroni Umno yang sudah kaya tidak akan membantu golongan miskin.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Taiping menggesa Najib tidak berselindung di sebalik angka ekuiti Bumiputera, sebaliknya mendedahkan kaedah sebenar pengiraan.

“Kerajaan sebelum ini telah menggunakan nilai tara (par) dan bukannya nilai pasaran untuk mengira angka ekuiti Bumiputera. (Kaedah) ini adalah salah.

“Dalam bidang perakaunan dan kewangan, nilai tara merujuk kepada nilai yang dinyatakan dalam memorandum perusahaan, di mana syarikat dilarang untuk menjual saham-saham di bawah nilai tawaran awal.

“Nilai tara sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan nilai pasaran saham,” ujarnya.

Chong turut menjadikan syarikat Apple Inc sebagai contoh bagaimana kesilapan kaedah digunakan Putrajaya menggunakan nilai tara untuk menaksir angka ekuiti Bumiputera.

“Apple Inc mempunyai sejumlah 5.988 bilion saham, dan harga pasaran bagi setiap saham ialah USD100.73, menjadikannya syarikat terbesar di dunia dari sudut modal saham, berjumlah USD603.17 bilion.

“Bagaimanapun, Apple Inc hanya mempunyai satu nilai tara USD0.00001 setiap saham.

“Jika Apple Inc akan dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera, berdasarkan kaedah Putrajaya menggunakan nilai tara, ekuiti dimiliki bumiputera hanya USD 59,880 (RM 191,616), sedangkan jualan di kedai telefon bimbit iPhone mungkin bernilai lebih daripada itu,” kata Chong.

Chong menyatakan, kerajaan pada masa lalu menolak ekuiti kerajaan dan ekuiti asing apabila membuat pengumuman mengenai angka ekuiti Bumiputera.

Tindakan tersebut, katanya, mendorong kepada peningkatan sasaran ekuiti Bumiputera yang tidak munasabah, iaitu kepada 70 peratus.

“Melainkan kerajaan mengurangkan pegangan ekuiti dan menghadkan pemilikan ekuiti asing, sasaran ekuiti Bumiputera 70 peratus adalah tidak realistik dan tidak tercapai,” ujarnya. – Roketkini.com