Berita

Kedudukan Malaysia dalam indeks media merudum kerana DAP?

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Tuduhan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kononnya DAP turut bertanggungjawab ke atas reputasi buruk Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media (FPI) 2014 tidak berasas.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming berhubung isu itu, Shabery mendakwa tindakan kerajaan Pulau Pinang melarang akhbar milik Umno Utusan Malaysia daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menyumbang dalam penurunan itu.

Menyifatkannya sebagai tuduhan liar, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sudah lama tidak melarang mana-mana media daripada membuat liputan, termasuk Utusan Malaysia.

“Walaupun kerajaan negeri tidak menjemput media seperti Utusan, tetapi mereka tidak dilarang untuk hadir dan membuat liputan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Loke turut menunjukkan gambar seorang wartawan Utusan Malaysia bernama Mohd Firdaus Ismail yang menghadiri sidang media Ketua Menteri Lim Guan Eng di Komtar baru-baru ini.

Dalam Laporan FPI 2014 dikeluarkan badan antarabangsa ‘Reporters Sans Frontiers’ (RSF), Malaysia menjunam kepada kedudukan terburuk dalam sejarah, iaitu pada tangga 147 daripada 180 negara.

Sementara itu, Adun Tanjong Ng Wei Aik memaklumkan, larangan terhadap Utusan daripada menghadiri sidang DUN Pulau Pinang sebelum ini ekoran akhbar itu membuat laporan palsu, dan sudah pun dimansuhkan tahun lalu.

Beliau ketika menjadi Adun Komtar pada tahun 2010 merujuk Utusan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN berhubung laporannya bertarikh 12 November 2010 yang memetik Adun BN Permatang Berangan Shabudin Yahaya kononnya kos pengubahsuaian banglo Guan Eng melebihi RM1.5 juta.

“Sebenarnya beliau tidak pernah cakap seperti itu. Utusan mereka-reka kata-katanya. Kebebasan tidak beri hak kepada mereka untuk buat laporan palsu,” katanya lagi.

Namun, larangan itu telah terbatal selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi menghadapi plihanraya umum ke-13 Mei lalu.

“Selepas PRU, Utusan kembali dibenarkan membuat liputan. Maka tiada lagi isu tentang perkara ini,” katanya lagi.

‘Lebih daripada sekadar larangan liputan’

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi berkata, penurunan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar melibatkan banyak faktor, bukan sekadar larangan membuat liputan sidang DUN.

Katanya, enam aspek yang dinilai RSF dalam laporan itu; antaranya kerangka perundangan, suasana dan penapisan, ketelusan dan prasarana.

“Kerajaan pusat melalui jentera pelbagai kementerian menyekat kebebasan media. Ia bukan sekadar melibatkan Kementerian Penerangan, tetapi juga Kementerian Dalam Negeri.

“Antaranya Malaysiakini dilarang menerbitkan akhbar. Edaran akhbar milik parti seperti Roket dan Suara Keadilan juga dihadkan.

“Maka boleh difahami mengapa kedudukan Malaysia jatuh, kerana tekanan-tekanan sebegini, bukan kerana DAP,” ujarnya. – Roketkini.com