Berita

Jangan selindung siasatan pembunuhan Teo Beng Hock

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Demi menjamin keadilan dapat ditegakkan, pihak berkuasa perlu memaklumkan status dan perkembangan dari semasa ke semasa siasatan pembunuhan Teoh Beng Hock kepada umum, kata Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong.

Jawapan parlimen Kementerian Dalam Negeri hari ini memaklumkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kematian Beng Hock.

Jawapan KDN yang diterima Teo menyatakan bahawa JSJ tidak bercadang mengulas lanjut kes tersebut memandangkan siasatan masih berjalan.

Justeru itu Teo mengingatkan bahawa maklumat berhubung kes yang mendapat perhatian seluruh negara itu tidak patut disembunyikan.

“Kita inginkan siasatan yang telus di mana tiada pihak yang boleh sembunyikan kerja (dan hasil) siasatan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Mahkamah Rayuan pada 5 September lalu mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menetapkan kematian mendiang disebabkan ‘seorang atau lebih daripada seorang’ yang tidak bernama termasuk pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Panel tiga hakim yang dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi sebelum ini telah khilaf apabila memberikan penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Pada 10 September lalu, Teoh Lee Lan adik mendiang Teoh Beng Hock membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi mendesak pihak berkuasa menangkap dan menahan segera individu yang menyebabkan kematian abangnya lima tahun lalu.

Teo yang juga Ketua Pemdua DAPSY turut menuntut PDRM dan Kementerian Dalam Negeri mendedahkan kerja-kerja penyiasatan pada masa akan datang.

“Rakyat Malaysia mahu tahu siasatan yang dijalankan, bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke mahkamah,” tegasnya. – Roketkini.com