Berita

Kerajaan selamatkan 1MDB dengan kontrak bina loji janakuasa

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kerajaan bertindak ‘menyelamatkan’ 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui kontrak runding-terus pembinaan beberapa loji janakuasa elektrik di seluruh negara, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Pua dalam satu kenyataannya hari ini mempersoalkan anugerah kepada 1MDB sebuah projek loji janakuasa gas turbin 2,000MW di Melaka pada akhir Ogos lalu, yang disahkan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KETTHA)

Malah menurut Pua pada April lalu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut menandatangani satu perjanjian pembelian tenaga dengan 1MDB bagi pembinaan loji tenaga solar.

1MDB akan merekabentuk, membina, mengendali, menyelenggara dan memiliki 50mW photovoltaic solar kemudahan tenaga di Kedah dan membekalkan kuasa elektrik kepada TNB.

“Pentadbiran Najib tidak bermoral apabila berdolak-dalih menggunakan ‘tender terbuka’ dan meneruskan kontrak lumayan itu secara runding-terus.

“Kerajaan nampak begitu terdesak hingga terpaksa secara tergesa-gesa mempercepatkan penganugerahan kontrak ini, meskipun loji kuasa gas turbin itu hanya dijadual untuk ditauliahkan pada tahun 2021, iaitu tujuh tahun dari sekarang.

“Berdasarkan jawapan menteri, anugerah terbaru kepada 1MDB diberikan sebelum sempat terma seperti tarif elektrik ditetapkan atau dipersetujui. Ini lebih teruk daripada kontrak runding-terus, kerana tidak ada rundingan langsung,” kata Pua dalam satu keyataannya hari ini.

Menurutnya 1MDB memperoleh manfaat melalui kontrak berbilion ringgit selepas kerajaan menarik sekatan kepada syarikat itu yang telah dua kali menarik semula IPO berikutan tawaran nilaiannya yang tidak menarik.

“Tanpa keberhasilan IPO, 1MDB hanya sebuah syarikat yang menanti muflis, yang akan menyebabkan keributan pasaran kewangan Malaysia.

“1MDB dan anak-anak syarikatnya dengan ketidakupayaan untuk mengemukakan laporan kewangan tepat pada masa, menambah keraguan bahawa wujud masalah kewangan dalam kumpulan itu,” kata Pua.

Justeru itu katanya penyelesaian jangka pendek dirangka 1MDB adalah dengan meyakinkan pasaran bahawa pelaburan RM9 bilion melalui IPO mampu mengurangkan hutang RM36 bilion kumpulan tersebut.

Pua di Parlimen minggu lalu mendedahkan dua anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Energy (Langat) Sdn Bhd dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd gagal memfailkan penyata kewangan bagi tahun 2013, dengan masing-masing menanggung hutang RM2.8 bilion dan RM5.9 bilion.

“Sehingga kini, 1MDB telah dua kali semula menyusun semula hutang tertunggak, pinjaman, kos dan penalti berjumlah RM6.7 bilion,” katanya.

Dalam masa sama kata Pua, tindakan kerajaan melonjakkan nilai tawaran awam permulaan (IPO) bagi menyelamatan 1MDB, meletakkan risiko kenaikan kadar elektrik lebih tinggi pada masa akan datang.

“Yang rugi akhirnya rakyat Malaysia yang terpaksa membayar tarif elektrik lebih tinggi, berikutan kadar yang dianugerah kepada 1MDB mengurangkan persaingan pasaran pengeluar tenaga,” kata Pua. – Roketkini.com