Berita

Bersih cadang Speaker Dewan Rakyat dilantik melalui undian Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mencadangkan agar speaker Dewan Rakyat dipilih melalui undian di kalangan Ahli Parlimen pada masa akan datang.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah berkata, ia bagi membolehkan Ahli Parlimen yang menjadi asas dalam proses berparlimen dilibatkan dalam proses tersebut.

“Ia sudah dijalankan di negara lain, seperti United Kingdom. Jadi kita juga boleh mempertimbangkan untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Timbalan Pengerusi Bersih (bahagian Selatan Semenanjung) Thomas Fann berkata, cadangan itu juga untuk menjadikan speaker lebih bertanggungjawab kepada Ahli Parlimen, dan tidak berat sebelah.

“Persoalan utama adalah bagi menjadikan speaker lebih bertanggungjawab kepada Ahli Parlimen yang melantik beliau. Itulah asasnya,” katanya lagi.

Dalam sesi perbahasan sebelum ini, Speaker sering dilihat bertindak berat sebelah apabila mudah menghukum Ahli Parlimen Pakatan yang dianggap melanggar peraturan mesyuarat, berbanding Ahli Parlimen BN.

Antara yang menjadi mangsa adalah N Surendran (PKR – Padang Serai), apabila timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee meluluskan usul tanpa membenarkan dibahas terlebih dahulu, dan menggantungya selama enam bulan.

Bersih 2.0 yang mengadakan taklimat ‘Agenda Pembaharuan Berkenaan Parlimen’ bersama-sama ahli parlimen tengah hari tadi menumpukan aspek menambah baik proses membuat keputusan dan mutu perbahasan, selain meningkatkan penglibatan rakyat dalam pembuatan dasar.

Walaupun jemputan dihantar kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, hanya Ahli Parlimen Pakatan yang menyertai sesi itu, antaranya  Teresa Kok (Seputeh); Ngeh Ko Ham (Beruas), Ong Kian Ming (Serdang), Rafizi Ramli (Pandan) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Selain itu, Bersih 2.0 juga mencadangkan agar Parlimen memperuntukkan sekurang-kurangnya seorang pembantu penyelidik kepada setiap Ahli Parlimen.

“Setakat ini Parlimen hanya menyediakan kurang sepuluh penyelidik (kepada 222 ahli parlimen).

“Selain daripada menyertai perbahasan, ahli parlimen perlu menjalankan penyelidikan terhadap pelbagai isu. Pembantu penyelidik penting untuk meningkatkan kualiti perbahasan,” kata Maria lagi.

Antara cadangan lain dibawa Bersih 2.0 dalam taklimat hari ini adalah bagi mengukuhkan lagi Jawatankuasa Pilihan Parlimen termasuk dengan sokongan kewangan serta peruntukan pembangunan kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti. – Roketkini.com