Berita

‘Siasat Zahid Hamidi bawah Akta Hasutan hanya sandiwara’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis telah mengambil keterangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di bawah Akta Hasutan adalah sandiwara semata-mata.

Kata Kit Siang, jika polis benar-benar berlaku adil, siasatan juga perlu dibuat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kerana laporan turut dibuat ke atas mereka.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khalid bahawa Zahid bukan sahaja telah memberi keterangan, malah menyerahkan dua hari lalu semua bukti ucapan yang didakwa menghasut.

Zahid juga mengesahkan perkara tersebut malah dengan angkuh berkata “menyerahkan kepercayaan penuh kepada polis untuk menyiasat menteri yang menjaga polis”.

“Bolehkah polis beri jawapan, mengapa masih tidak menyiasat Najib dan Mahathir, walaupun Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng telah membuat laporan polis berbeza terhadap mereka tiga minggu lalu?

“Waktu pengumuman Khalid juga mencurigakan, menjelang ‘Solidarity Walk’ anjuran Majlis Peguam bagi membantah siri dakwaan Akta Hasutan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Maka, katanya lagi, pengumuman Khalid tadi hanyalah sandiwara bagi menunjukkan polis berlaku adil dengan menyiasat sesiapa sahaja.

Pada 23 September lalu, Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh membuat laporan polis terhadap Zahid yang membuat fitnah jahat, kononnya DAP membaling batu kepada kereta Tengku Mahkota Perak ketika kemelut rampasan kuasa BN di negeri itu pada tahun 2009.

Namun, di sebalik janji Zahid bahawa polis akan menyiasat semua laporan berhubung hasutan dalam masa 24 jam, tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah Khalid membuka mulutnya pagi tadi.

Katanya lagi, pengumuman Khalid itu hanyalah menjadi ejekan kepada ‘sumpah’ Zahid itu.

“Tambahan pula adakah polis cuba beritahu bahawa mereka mampu mengajukan kepada Pegum Negara agar Menteri Dalam Negeri di bawah Akta Hasutan?

“Omong kosong sahaja (tell it to the marines),” ujar Kit Siang – Roketkini.com