Berita

Speaker arah Menteri tak jawab soalan hubungan dagang Malaysia-Israel?

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapha Mohamed gagal menjawab soalan bertulis yang dikemukakan mengenai hubungan dagang di antara Malaysia dengan Israel di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa dalam kenyataannya hari ini berkata, Menteri MITI itu tidak menjawab soalan asal, dan kemudiannya mengelirukan Dewan apabila jawapan yang diberikan jauh tersasar.

Dalam soalan bertulis yang dikemukakan kepada MITI dua hari lalu, Er meminta kerajaan menyatakan statistik perdagangan secara langsung atau tidak langsung di antara Malaysia dan Israel semenjak tahun 1996 sehingga kini.

Ini kerana menurut Er, berdasarkan laporan Times of Israel bertarikh 14 September 2014, laman web itu memetik angka dan statistik peningkatan drastik jumlah perdagangan Malaysia dengan Israel bagi tahun 2013.

Dalam artikel yang bertajuk ‘Malaysia favors Palestinians but buys from Israel’ itu mendedahkan, statistik perdagangan dengan Israel dengan Malaysia dimasukkan ke dalam ruangan ‘lain-lain negara’.

Pada Februari 2012, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyatakan bahawa kerajaan tidak melarang perdagangan antara syarikat swasta negara ini dengan ahli-ahli perniagaan Israel.

Kata Mukhriz, kapal yang dimiliki Israel juga dibenarkan berlabuh di pelabuhan di Malaysia untuk tujuan perdagangan.

Manakala sejak 1996, jemaah Menteri membenarkan permohonan syarikat antarabangsa (MNC) dan perkilangan besar untuk mengimport bahan-bahan atau komponen bagi dimasukkan ke dalam produk mereka untuk dieksport semula.

Antaranya, permohonan untuk mengeksport bahan dan komponen daripada syarikat atau pun kilang tersebut ke Asia Barat, termasuklah Israel.

Tambah Er, sekiranya kerajaan tidak mempunyai statistik tersebut, apakah bermaksud setiap produk dari, dan ke Israel tidak direkodkan, atau sekiranya tidak mengikut prosedur lazim sehingga kerajaan tidak mengetahui jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Israel.

“Seterusnya, mengapakah Speaker boleh mengarahkan Menteri untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen. Ini bukanlah amalan baik untuk sistem Parlimen ala-Westminster.

“Saya maklum bahawa Menteri mempunyai hak untuk tidak menjawab, namun ia bukan dengan bersandarkan kepada arahan daripada Speaker.

“Ini menunjukkan kecelaruan bidang kuasa di antara legislatif dan eksekutif,” ujar Er. – Roketkini.com