Berita

Belanjawan 2015: Ketepi perbezaan politik demi pembangunan setempat, salur peruntukan pelancongan secara saksama

KLUANG, 16 OKT: Semua wakil rakyat harus diberikan layanan sama rata tanpa mengira fahaman politik bagi mempromosikan pelancongan dalam negeri dan menggerakkan pembangunan setempat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Tan Hong Pin.

“Saya berharap perbezaan fahaman politik dapat diketepikan, agar kerajaan tempatan dapat bekerjasama dengan wakil rakyat dalam mempromosi pelancongan dan pembangunan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) itu menggesa kerajaan menyalurkan sebanyak RM22 juta daripada RM316 juta peruntukan Belanjawan 2015 untuk Kementerian Pelancongan kepada seluruh 222 kawasan Parlimen.

Hong Pin berkata demikian sebagai merujuk kepada ucapan Belanjawan 2015 Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Cadangan Anthony supaya peruntukan RM22 juta ringgit diberikan secara sama rata kepada semua 222 Ahli Parlimen tanpa mengira pembangkang atau pemerintah adalah baik dan dapat membantu kami menggerakkan pembangunan komuniti di kawasan masing-masing.

“Hujah itu juga sejajar dengan objektif kami menganjurkan Pesta Kluang dengan bantuan dan kerjasama masyarakat setempat walaupun kami masih pembangkang,” ujarnya.

Anthony dalam ucapannya 13 Oktober turut mencadangkan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM100 ribu dan Ahli Parlimen masing-masing dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan festival bersama masyarakat setempat pada tahun 2015 untuk merakyatkan ‘Year of Festival’.

Cadangan Anthony itu adalah berikutan kejayaan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menganjurkan festival setempat untuk mempromosikan keindahan semulajadi kawasannya, sekaligus berjaya menghidupkan semula warisan lama.

“Keunikan dan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi dalam penganjuran sesuatu festival akan memberikan pengalaman berbeza serta menjadi tarikan pelancong.

“Kita bukan saja dapat menghidupkan semula pekan-pekan kecil, malah memberi dampak ekonomi yang baik kepada masyarakat setempat.

“Jangan kita wujudkan persepsi kepada pelancong asing bahawa Malaysia hanya berkenaan Kuala Lumpur. Kepelbagaian dalam negara perlu ditunjukkan seiring dengan kata ‘Malaysia Truly Asia’,” ucapan itu dipetik.

Pesta Kluang anjuran Pusat Komuniti Kluang (KCC) pada 13 hingga 20 September lalu dilangsungkan dengan jaya biarpun diganggu pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kluang (MPK), yang menolak permohonan untuk menggunakan beberapa prasarana awam.

Pelbagai acara dianjurkan dengan slot istimewa antaranya seperti Jelajah Bandar Kluang, Forum Senibina, Lawatan Eco-Pelajaran Gunung Lambak, Jelajah Berbasikal Merentas Desa dan banyak lagi.

Pesta Kluang juga telah berjaya menyuntik semangat baru di kalangan peserta dan penduduk tempatan yang sebelum ini tidak yakin dengan aset serta sejarah di bandar kecil mereka. -Roketkini.com