Berita

Mesyuarat kabinet disaran beri perhatian serius tuntutan Majlis Peguam

KUALA LUMPUR, 16 OKT: DAP menggesa kerajaan memberi perhatian serius dalam agenda mesyuarat kabinet esok berhubung tuntutan Majlis Peguam agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, jika Malaysia benar-benar ingin bergelar negara maju pada tahun 2020, ketidakadilan melalui penggunaan Akta Hasutan tidak boleh dibiarkan.

“Kerajaan tidak boleh mengabaikan tuntutan ini kerana ia berhubungkait dengan sifat dan syarat untuk menentukan sama ada Malaysia boleh dianggap negara maju.

“Kabinet harus mengakui kemarahan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap diskriminasi, dakwaan terpilih melalui Akta Hasutan untuk menyekat kritikan atau perbezaan pendapat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mendesak Kabinet mempertegas semula janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar akta kolonial itu dimansuhkan.

Majlis Peguam Malaysia bersama ratusan warga pagi ini berarak melalui program “Berjalan Untuk Keadilan dan Kebebasan” dari Padang Merbok ke Parlimen meneruskan desakan kepada kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Sepuluh daripada mereka, termasuk Presiden Majlis Peguam Christopher Leong, memasuki Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.

Selain gesaan memansuhkan Akta Hasutan, Majlis Peguam meminta Najib dan kerajaan memberi komitmen kepada usaha membawa Malaysia lebih adil, saksama, harmoni, sederhana serta menolak segala bentuk ketaksuban, perkauman dan ekstremisme. – Roketkini.com