Berita

Syarikat milik kerajaan dengan hutang RM4 bilion gagal hantar penyata kewangan

 

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Selepas dua anak syarikat 1MDB, sebuah lagi syarikat di bawah Kementerian Kewangan didedahkan tidak memfailkan penyata kewangan tahunan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Menurut beliau, SRC International Sdn Bhd yang merupakan milik penuh Kementerian Kewangan menghantar penyata kewangannya kali terakhir kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Mac 2012, walaupun menanggung beban pinjaman sebesar RM4 bilion.

“SRC International mendapat pinjaman Islam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pekerja, yang dijamin kerajaan Persekutuan. Pinjaman itu diberikan sebanyak dua kali – pada Ogos 2011 dan Mac 2012.

“Walaupun dengan pinjaman sebesar itu, akaun tahunan syarikat ini kali terakhir difailkan pada Mac 2012. Akaun tahun seterusnya yang patut difailkan paling lewat pada September 2013 masih belum dihantar,” katanya.

Beliau turut membangkitkannya dalam Parlimen, namun jawapan yang diberikan langsung tidak memberi apa-apa penjelasan.

Jawapan Kementerian Kewangan dua hari lalu mengesahkan penyata kewangan 2013 syarikat tersebut belum difailkan, dan akan dihantar bersama penyata tahun ini sebelum 31 Oktober 2014.

Jawapan parlimen berhubung kegiatan syarikat tersebut pula meleret-leret dengan menyatakan ia “dikendalikan sebagai syarikat strategik berpandangan jauh yang akan mengimplimentasi projek strategik infrastruktur yang akan melipat gandakan keupayaan menjana pertumbuhan jangka panjang yang berkekalan”.

“Jawapan parlimen itu langsung tidak menyatakan sebab mengapa penyata belum dihantar. Penerangan tentang kegiatannya pula berjela-jela, seperti ada rahsia,” kata Pengerusi DAP Selangor itu lagi.

Kaitan mencurigakan dengan 1MDB

Pua juga membangkitkan kecurigaan berhubung kaitan syarikat itu yang diambil alih Kementerian Kewangan daripada 1MDB pada Februari 2012 dan pinjaman RM4 bilion yang dibuat.

“SRC dengan tergesa-gesa diambil alih daripada 1MDB setahun selepas pinjaman RM4 bilion diberikan dan sebelum akaun tahunan 1MDB ditutup.

“Tanpa jawapan yang telus daripada kerajaan, dan keadaan yang mencurigakan, kita hanya boleh menyangka bahawa ada pelanggaran kewangan yang serius, atau lesapnya wang pinjaman,” ujar Pua.

Katanya lagi, ia juga mungkin menjadi punca 1MDB tidak memfailkan penyata kewangan 2013 manakala KPMG Malaysia berundur sebagai juruaudit 1MDB.

Ke mana wang RM4 bilion?

Pua turut memetik laporan FZ.com 5 Mei lalu, bahawa akaun tahun 2012 SRC menunjukkan pelaburan RM2 bilion dalam unit amanah yang diuruskan AMInvestment Services Bhd yang hanya memberikan pulangan dividen kurang 0.01 peratus.

Penyata itu juga menunjukkan sejumlah RM1.7 bilion dihabiskan dalam deposit jangka pendek.

“Soalan paling penting adalah – ke mana perginya wang RM4 bilion sejak tahun 2012? Ini sangat mengejutkan dan memalukan.

“Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB perlu memberi jawapan,” katanya lagi. – Roketkini.com.