Rencana

Semua enggan mengalah dan akhirnya kalah semua

oleh: Lim Hong Siang

Saya agak yakin bahawa PAS tidak berhasrat untuk mencabul ataupun menafikan hak bukan-muslim untuk minum arak. Namun, pertikaian pesta arak Oktoberfest telah memberi persepsi sebaliknya di kalangan masyarakat non-muslim, sama ada sengaja atau tidak. Isu yang bukan isu akhirnya menjadi isu kontroversi sehingga kehadiran pimpinan non-muslim DAP dan PKR ke situ juga dianggap sebagai menjolok sensitiviti masyarakat Islam.

Saya sedar bahawa arak adalah minuman yang diharamkan Islam. Tetapi dari kaca mata non-muslim, sesetengah arak boleh dijadikan ubat, dan adakalanya, perisa dalam masakan. Sesungguhnya ia memabukkan, namun bukan semua orang mabuk selepas minum, bergantung kepada kepekatan kandungan alkohol, dan sejauh manakah seseorang itu menahan kemabukan. Di Barat, bir menjadi satu-satunya minuman untuk orang ramai selepas matahari terbenam dari garis horizon. Pada keesokannya, mereka kembali ke tempat kerja tepat pada waktunya, dan tanpa produktiviti kerjanya terjejas.

Bukan di Barat sahaja, malah di Timur, seperti China, arak bukan sesuatu yang negatif. Dari sejarah kesusasteraannya, banyak puisi klasik dihasilkan selepas penyajak memperolehi ilham yang tercetus dari rangsangan alkohol. Kini arak lebih sebagai minuman sosial dalam dunia perniagaan. Untuk golongan kelas menengah, arak satu-satunya minuman yang boleh diambil pada saat-saat gembira dan detik-detik sedih. Umpama rokok, ia meringankan beban emosi yang terpendam dalam hati.

Bukan niat saya untuk mempromosi budaya minum arak di sini, tetapi sekadar untuk memperlihatkan jurang persepsi terhadap arak di antara muslim dengan non-muslim. Jadi apabila pesta arak ini cuba dihalang dengan hujah untuk memburuk-burukkan minuman ini, ia tidak berkesan untuk non-muslim. Menjadikan arak sebagai punca segala maksiat, misalnya seks bebas, pengambilan dadah, malah kemalangan jalanraya, sememangnya tidak masuk akal. Tanpa alkohol pun Altantuya boleh dibunuh, tahanan wanita boleh dirogol di balai polis, malah stadium boleh runtuh.

Jenayah berlaku bukan kerana arak, sebagaimana rasuah berlaku bukan kerana kuasa. Kedua-dua ini berlaku apabila manusia tidak terkawal dan melangkaui batasnya. Alkohol dan kuasa cuma alasannya, atau alatnya, yang seringkali, disalahgunakan. Secara prinsipnya, kita menghukum penjenayah dan perasuah bukan kerana dia minum arak atau berkuasa, tetapi kerana tindakannya melangkaui batas undang-undang, hak dan kuasanya.

Mungkin ada asasnya jikalau arak yang berlebihan dikatakan memudaratkan kesihatan. Tetapi bagaimana pula dengan merokok yang mendedahkan orang yang tidak merokok di sekeliling kepada risiko menjangkiti barah yang lebih tinggi?

Malah ada yang berpandangan bahawa tidak sesuai pesta arak diadakan secara terbuka kerana seakan-akan memberi gambaran kerajaan Pakatan Rakyat sedang mempromosi budaya yang tidak sihat. Namun, suara-suara sebegini tidak kedengaran pula apabila pesta gusti WWE yang mempromosikan keganasan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, menyaksikan pergelutan susuk tubuh manusia?

Jadi, masyarakat non-muslim terpinga-pinga apabila pesta arak yang tidak menjadi isu untuk sekian lama ini, tiba-tiba dijadikan isu kontroversi, dan lokasinya perlu dipindahkan. Sudah tentu keraguan timbul, apakah ia petanda bahawa hak non-muslim untuk minum arak sedang dihakis sedikit demi sedikit? Jadi apa yang terlintas dalam minda mereka adalah, apakah ini balasannya selepas menyokong Pakatan Rakyat?

Dilema ini muncul bukan untuk kali pertama. Cabarannya untuk menguruskan percanggahan antara nilai yang berbeza, antara Islam dengan bukan Islam. Misalnya, untuk masyarakat bukan Islam, larangan berjabat tangan antara lelaki dengan wanita adalah sesuatu yang tidak masuk akal pada zaman moden ini. Kontroversi ini pernah timbul ketika PRK Tenang pada tahun 2011. Namun, DAP akhirnya menghormati calon PAS, dan turun ke padang untuk menjelaskan kepada masyarakat non-muslim tentang amalan agama ini. Sudah tentu ia bukan tugas yang enteng, apabila berdepan dengan serangan MCA bahawa PAS mengamalkan Islam yang konservatif.

Terbaru, DAP menyambut penyertaan seorang wanita berpurdah ke dalam partinya. Bayangkan, dengan stereotaip dan prejudis yang tebal di kalangan masyarakat bukan-muslim terhadap niqab yang dengan jahilnya dikaitkan dengan “pengganas”, betapa payahnya untuk menjelaskan kepada mereka bahawa ini sebahagian hak penganut agama Islam. Saya melihat ini sebagai proses bagaimana sesebuah masyarakat majmuk belajar untuk menyesuaikan diri dalam kepelbagaian. Kita menghormati hak masing-masing selagi hak orang lain tidak mencabul hak diri kita.

Namun, untuk saya, permasalahan yang lebih besar adalah kepercayaan atau keyakinan di kalangan parti Pakatan Rakyat yang semakin terhakis. Pemimpin non-muslim mungkin masih memahami kebimbangan dan keresahan pemimpin muslim PAS, jikalau isu ini dibangkitkan sebelum kemelut Selangor – ketika kepercayaan sesama diri masih wujud. Namun, selepas krisis Selangor, syak wasangka mula tertanam antara satu sama lain. Malah isu ini timbul seakan-akan untuk menyasarkan ahli parlimen Shah Alam PAS, Khalid Samad – tokoh yang bersungguh-sungguh mempertahankan Pakatan Rakyat. Politiking yang berlebihan kini memakan tuannya.

Apapun berlaku, apabila kepercayaan sesama rakan seperjuangan terhakis, ia bakal mengundang kemudaratan. Pemimpin non-muslim akan bertanggapan ia sengaja ditimbulkan kerana pemimpin muslim mahu berlagak menjadi pahlawan di kalangan masyarakat Islam. Maka mereka juga mahu menjaga kubu sendiri, menampilkan diri di pesta arak, untuk mengukuhkan keyakinan non-muslim bahawa hak minum arak akan tetap terjamin. Susulan daripada itu, aksi ini dilihat sebagai kurang peka, malah berunsur provokasi, sehingga pemimpin muslim PAS dianggap gagal mempertahankan masyarakat Melayu-Muslim.

Jelas, kesan mendatangkan kesan yang lain. Apa yang pasti, kesemuanya negatif. Ia semakin menggusarkan apabila masing-masing enggan mengalah, dan jangan kita mengambil ringan kerana akhirnya semua akan kalah dalam pilihanraya kelak jika masalah ini dibiarkan berterusan. – Roketkini.com