Berita

Apakah kabinet perlu ‘tongkat Ali’ setiap kali bermesyuarat?

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Apakah kerana kurangnya ‘tongkat Ali’ antara sebab kabinet melepaskan diri daripada tanggungjawab bersama dan mengesahkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri bahawa Presiden Perkasa, Ibrahim Ali tidak boleh didakwa?

Demikian pertanyaan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, meminjam perumpamaan digunakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mah Siew Keong berhubung kemerosotan sokongan terhadap dasar 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apakah Nancy diberi tanggapan yang salah, tidak benar dan tidak boleh diterima, dengan merujuk kepada kenyataannya bahawa Ibrahim tidak didakwa kerana mempertahankan Islam dan tindakan itu dilindungi oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia?

“Sekiranya kenyataan Nancy itu menunjukkan pendirian bersama semua Menteri Kabinet, ia mengikat setiap mereka berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kata Kit Siang, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di Milan bagi persidangan Asia-Eropah (Asem), ia tidak menjadi alasan kabinet untuk mengelak daripada tangungjawab bersama berhubung pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan komponen BN di Sarawak dan Sabah, bahkan anggota kabinet Umno beraliran ‘sederhana’ memuji pidato Najib baru-baru ini di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kepentingan toleransi ke atas semua agama dan berjanji untuk memberi ‘sokongan penuh dan kuat’ kepada beliau.

Namun, menurut Kit Siang, mereka tidak pula bersedia untuk bersuara bagi menyatakan bantahan terhadap ekstremisme dan sikap tidak toleransi antara agama dengan membiarkan Ibrahim Ali kebal daripada tindakan undang-undang.

“Adakah prinsip tanggungjawab bersama para menteri di Malaysia telah merosot?” soal Kit Siang.

Menurutnya lagi, walaupun Perdana Menteri sering menyebut bahawa Malaysia sebagai model sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni dengan rakyat yang berbilang kaum dan agama, sejauh ini beliau masih belum dapat meyakinkan rakyat Malaysia tentang prinsip-prinsip kesederhanaan itu menerusi dasar dan tindakan.

“Apakah kabinet perlu dibekalkan dengan ‘tongkat Ali’ sebagai persediaan mesyuarat setiap minggu?” sindir Kit Siang. – Roketkini.com