Berita

Sempena Deepavali, bebaskan Malaysia daripada kegelapan, rasuah dan penindasan

GEORGE TOWN, 18 OKT: Rakyat Malaysia harus menolak sebarang usaha untuk mengubah sikap mereka yang bertolak-ansur dan sederhana dengan ekstremisme agama dan perkauman, kata Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

Dalam perutusan sempena sambutan hari Deepavali Guan Eng berkata, hak-hak istimewa bukannya ‘lesen’ untuk melakukan korupsi atau melanggar hak asasi manusia.

Menurut beliau, pihak yang cuba mengubah sifat masyarakat ini juga adalah penyokong pemerintah yang berkuasa sekarang dan mereka menyebarkan ideologi berbahaya, iaitu ideologi memusuhi kemajmukan.

“Ideologi itu secara langsung mengancam kedamaian dan keharmonian negara kita yang berbilang bangsa, budaya dan agama,” kata Guan Eng.

Justeru itu, beliau memuji keberanian kumpulan Islam sederhana yang menyelar tindakan Menteri Undang-undang Nancy Shukri mewajarkan keengganan Peguam Negara untuk mendakwa Presiden Perkasa Ibrahim Ali yang mengancam untuk membakar kitab Bible.

“Justifikasi tersebut, kononnya bagi mempertahankan Islam dan memberi hak Ibrahim untuk membakar kitab suci agama lain, adalah bertentangan dengan ajaran Islam sendiri yang melarang umatnya membakar kitab suci agama lain,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, masa depan Malaysia tidak boleh dibentuk dengan perseteruan terhadap golongan bukan-Muslim dan bukan-Melayu, terutama apabila dalam menyebarkan permusuhan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa diabaikan atau dibiarkan, seperti dilihat pada kadar pengaliran keluar wang haram yang tinggi.

“Apa gunanya melantik bekas Presiden Transparency International Datuk Paul Low untuk memerangi rasuah sedangkan Malaysia dilihat sebagai salah satu negara paling korup di dunia, seperti yang terbukti pada kadar pengaliran keluar wang haram yang paling tinggi?” ujar Guan Eng.

Beliau turut menyebut tentang kenyataan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) baru-baru ini bahawa Malaysia tercicir 19 tahun di belakang Korea Selatan dari segi daya pengeluaran kerana budaya rasuah, ketirisan, sikap culas dan kewujudan undang-undang buruh yang lapuk.

Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan daya pengeluaran per pekerja bagi tahun 2013 setara nisbahnya dengan Korea Selatan bagi tahun 1995.

Manakala kadar purata daya pengeluaran seorang pekerja di Malaysia bagi tahun 2013 sama nisbahnya dengan seorang pekerja di Singapura bagi tahun 1979, Jepun (1972) dan Hong Kong (1982).

“Putrajaya sentiasa ingin menunjukkan bahawa Malaysia lebih baik dari Thailand, Vietnam atau Indonesia. Tetapi kenapa Malaysia membuat perbandingan dengan yang terburuk, dan bukan yang terbaik?” soal Guan Eng.

Ujar Guan Eng, kegagalan Putrajaya menjawab persoalan tersebut mendorong kepada tindakan rekayasa kebencian perkauman dan agama, bertujuan mengalihkan perhatian dari menangani masalah-masalah sebenar.

“Semoga Deepavali kali ini mengingatkan kita tentang tugas suci untuk membawa sinar cahaya bagi menyingkap kegelapan penindasan dan rasuah,” ujar Guan Eng. -Roketkini.com.