Berita

Klasifikasi perjanjian air bawah OSA undang tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Keengganan kerajaan persekutuan mendedahkan perjanjian penstrukturan air Selangor yang diklasifikasi dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) mengundang tuduhan rasuah, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Charles dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri memegang amanah dan melindungi kepentingan rakyat di negeri ini bertanggungjawab mendedahkan dokumen tersebut.

“Rakyat Selangor mempunyai kepentingan dalam penstrukturan semula ini, apatah lagi kerajaan negeri perlu mengeluarkan belanja berjumlah RM7.8 bilion bagi penstrukturan semula.

“Lebih penting ialah keputusan pemberian kontrak yang melibatkan kos, teknologi, tanggungjawab eksekutif dan perancangan lain akan diuruskan kerajaan persekutuan,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili sebelum ini beralasan bahawa perjanjian tersebut tidak akan didedahkan atas nasihat Peguam Negara.

Kata Maximus, persetujuan dari syarikat-syarikat pemegang konsesi air perlu diperolehi sebelum pendedahan dibuat.

Menurut Charles, kebimbimgan tersebut telah disuarakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengenai peningkatan kos yang tidak perlu dari kontrak berlebihan sebelum ini yang membebankan pengguna di Selangor.

“Hakikatnya, tindakan kerajaan Persekutuan terus menolak permintaan Selangor membuktkan ketakutan mereka dari kemarahan orang ramai.

“Mereka turut mempertimbangkan peranan Selangor, kerana secara khusus peranan kerajaan negeri adalah berkaitan pengambilan tanah, kelulusan kebenaran merancang bagi pembinaan loji rawatan dan infrastruktur berkaitan,” ujar Charles.

Dalam pada itu, Charles turut mempersoalkan sama ada perjanjian penstrukturan air di Selangor begitu sulit dan berhubungkait dengan persoalan keselamatan negara.

“Apa logiknya menyembunyikan perjanjian itu, yang pada dasarnya adalah suatu dokumen awam?

“Penolakan berterusan kerajaan persekutuan bertentangan dengan (dasar) ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya. – Roketkini.com.