Berita

Pulau Pinang ke arah hub pendidikan dan kesihatan bertaraf dunia

BAGAN, 21 OKT: Bagi melestarikan hasrat ke arah pendidikan bertaraf antarabangsa dan peningkatan taraf kesihatan, Kolej Pergigian Antarabangsa Pulau Pinang (PIDC) memperuntuk RM55 juta bagi membina bangunan kampus di Pulau Pinang.

Projek institut pengajian tinggi swasta yang dimiliki Vinayaka Missions University (India) itu dijadualkan bermula akhir tahun ini dan dijangka siap pada akhir 2018.

Selain bangunan baru, sebuah kompleks hospital pergigian akan turut dibina di kawasan sama di Jalan Bagan Luar.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata,  bangunan baru berkeluasan kira-kira 170,000 kaki persegi itu akan menjadi mercu tanda dan memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang pada masa akan datang.

“Bangunan baru ini selain menempatkan kampus baru yang moden, ia juga akan dilengkapi dengan hospital pergigian 200 kerusi, pusat sumber, kompleks auditorium, kemudahan rekreasi, makmal, bilik penyelidikan serta bilik fakulti dalam semua bidang kepakaran seperti Ortodontik, Endodontology, Prostodonsia, Bedah Mulut, Periodontology, Patalogi Mulut dan lain-lain.

“Dengan pembinaan kampus baru ini, PIDC akan dapat memainkan peranan yang lebih dinamik sebagai institusi pendidikan pergigian utama di rantau ini,” kata Guan Eng dalam ucapan perasmian majlis pecah tanah Kolej PIDC, semalam.

PIDC yang kini terletak di NB Towers sejak penubuhannya pada tahun 2006 telah berkembang menjadi sebuah koleh pergigian terkemuka dengan menghasilkan 224 doktor gigi setakat ini, termasuk 59 bakal tamat pengajian tahun ini.

PIDC adalah kolej pergigian pertama di Malaysia yang menawarkan Program Berkembar untuk Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (BDS) oleh Vinayaka Missions University, Salem, India.

BDS universiti tersebut telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Pergigian India, Majlis Pergigian Sri Lanka, Majlis Pergigian Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain bertujuan menghasilkan Akademi Doktor Gigi bertaraf global, PIDC juga menggabungkan piawaian pengajaran tinggi dan kemajuan sains ‘state-of-the-art’.

Selain dari menawarkan peluang untuk latihan klinikal, PIDC turut menyumbang dari sudut tanggungjawab korporat dan sosial dengan menyediakan rawatan pergigian percuma untuk kanak-kanak dibawah 14 tahun.

“Setakat ini telah 115 kem pergigian dianjurkan dan seramai 6,200 pesakit telah diperiksa. Langkah ini sememangnya wajar dipuji

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan PIDC bagi memastikan penjagaan kesihatan mampu diakses kepada yang memerlukan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat,” kata Guan Eng. – Roketkini.com