Berita

Belanjawan 2015: Agenda Bumiputera sekadar alasan kayakan kroni?

KUALA LUMPUR, 23 OKT – DAP tidak pernah menentang program dan dasar kerajaan yang membantu Melayu dan Bumiputera yang benar-benar berhak, malah menyokong dasar yang membantu golongan Melayu dan Bumiputera.

Namun bantuan yang diberikan mestilah disasarkan kepada mereka yang memerlukan dan tidak dijadikan alasan untuk mengkayakan golongan tertentu.

“Masalah dengan dasar-dasar BN ialah mereka menggunakan alasan ‘membantu Melayu’ untuk memberikan kontrak dan lesen kepada kroni yang sudah sedia kaya,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

“Pada masa yang sama, dasar yang berasaskan kaum akan mendiskriminasi dan mengenepikan golongan bukan-Melayu yang miskin dan turut memerlukan bantuan kerajaan,” tambahnya ketika dihubungi Roketkini.com

Tony yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menyeru supaya kerajaan melaksanakan dasar yang berasaskan keperluan dan bukannya perkauman.

Katanya, ia demi memastikan tidak ada segmen masyarakat yang ketinggalan sambil memastikan golongan yang sudah sedia kaya tidak akan dapat meraih keuntungan daripada nasib golongan miskin.

Belanjawan 2015 yang diumumkan baru-baru ini meletakkan agenda bumiputera sebagai salah satu teras dengan alasan kononnya demi menangani peningkatan populasi Bumiputera sehingga 70 peratus pada 2020.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata demikian sambil menambah bahawa kerajaan merasakan apabila Bumiputera maju barulah negara akan membangun. – Roketkini.com