Berita

Pulau Pinang tak pernah halang projek perumahan PR1MA

GEORGE TOWN, 25 OKT: Pulau Pinang tidak pernah menghalang Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang dirancang kerajaan pusat, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, adalah fitnah jahat mengaitkan beberapa faktor tertentu sebagai alasan Pulau Pinang menolaknya, sedangkan kerajaan negeri masih menunggu maklumat lanjut, permohonan dan lokasi perumahan PR1MA di Pulau Pinang.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa PR1MA dikhabarkan akan membina rumah yang berharga lebih daripada RM400,000.00 sepertimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri telah pun mematuhi garis panduan Kerajaan Persekutuan dengan membina 22,575 unit rumah mampu milik yang tidak melebihi RM400,000,” kata Guan Eng dalam suratnya  hari ini kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Guan Eng, agensi kerajaan Pusat itu merancang membina rumah mampu milik melebihi RM400,000.00, antaranya termasuk yang berharga hampir RM2 juta, menimbulkan persoalan sama ada niat murni akan terpesong kerana membina rumah mewah.

Kata Guan Eng, hasrat kerajaan negeri ialah untuk melihat pembinaan rumah mampu milik terutamanya bagi golongan bawahan dapat direalisasikan.

Kata Guan Eng, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Belanjawan 2015 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion bagi pembinaan 80,000 unit perumahan mampu milik di bawah PR1MA.

Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia Tan Sri Jamaludin Jarjis juga pernah mengadakan pertemuan bersama Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo bagi membincangkan lokasi projek PR1MA.

Malah, surat bertarikh 14 Februari 2014, 31 Oktober 2013, 10 Disember 2013, dan 27 Disember 2013 telah dihantar kerajaan negeri kepada Pusat untuk mengenalpasti tiga tapak tanah kosong yang dikatakan bagi projek PR1MA di Pulau Pinang

Jelas Guan Eng, tapak perumahan yang dicadangkan itu juga harus bebas daripada masalah setinggan ataupun penyelesaian adil telah tercapai dengan pihak berkaitan.

Justeru itu kata Guan Eng, adalah tidak benar sekiranya aduan disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan negeri menghalang pembinaan projek perumahan PR1MA.

“Semoga tiada siapa mempercayai tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri senantiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Guan Eng. – Roketkini.com.