Berita

Rayuan kerajaan tambah hukuman ke atas Anwar tindakan zalim

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Tindakan Putrajaya memfailkan rayuan balas untuk meningkatkan lagi hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah atas kes liwat 7 Mac lalu adalah luar biasa dan keterlaluan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kata Kit Siang, hujah pendakwaraya bahawa hukuman lima tahun penjara itu ‘jelas tidak memadai’, ‘tidak mencerminkan keseriusan kesalahan itu’ dan ‘tidak menyampaikan matlamat keadilan dari perspektif kepentingan awam’ mencerminkan hasrat pemerintah untuk memenjarakan Anwar dengan apa jua cara.

“Seolah-olah ada dorongan kuat di kalangan pihak berkuasa yang ingin menyingkirkan pembangkang, dengan ‘apa jua cara’.

“Jadi saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Apakah dia begitu kejam, tiada perasaan dan tidak berhati perut apabila mahu memenjarakan Anwar selama 20 tahun?

“Apakah ini sesuai dengan ikrar wasatiyah Najib mengenai kesederhanaan yang menekankan pada prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan?” soal Kit Siang dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam DAP Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Beliau turut mempersoalkan hujah ‘kepentingan awam’ oleh pendakwaraya yang merayu tambahan hukuman lima tahun penjara keatas Anwar, sedangkan apa yang berlaku adalah niat untuk memadamkan kerjaya politik ketua pembangkang itu.

Jelas Kit Siang, berbanding Indonesia, hukuman penjara ke atas ahli politik di republik itu atas hujah kepentingan awam adalah lebih jelas.

Antaranya kes bekas Menteri Belia dan Sukan Andi Mallarangeng dipenjara Julai lalu kerana menerima rasuah berjumlah Rp4 bilion (RM1,086,351) dan Rp 6 bilion (RM1,801,442) berkaitan pembinaan pusat latihan sukan Hambalang di Jawa Barat.

Manakala September lalu, Pengerusi Parti Demokratik Anas Urbaningrum dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun, denda Rp 300 juta (RM80,400) selain bayaran gantirugi berjumlah Rp 57,500,000,000 (RM15 juta) dan 5.2 juta (RM1,400) selepas didapati bersalah terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut Kit Siang, badan pencegahan rasuah Indonesia, KPK (Komisi Pemberantasan Korupsi ) mencabar keputusan tersebut dan merayu tambahan hukuman penjara lapan tahun itu kerana terlalu ringan.

“Persoalannya, apa yang boleh dikatakan sebagai ‘kepentingan umum’ apabila pendakwa merayu ke atas hukuman lima tahun penjara Anwar, selain wujud niat politik terpendam untuk membunuh kerjaya ketua pembangkang,” ujarnya. – Roketkini.com