Berita

Siapa dapat komisyen RM1.536 bilion 1MDB?

PETALING JAYA, 27 OKT – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja mempunyai hutang menggunung yang dikumpulkan dalam jangka masa sekadar empat tahun, ia malah turut membayar komisyen sepuluh kali ganda melebihi kadar pasaran kepada pihak tertentu dalam usahanya mengumpul dana.

Pada bulan Mei 2012 dan Mac 2013, syarikat pelaburan milik negara itu berjaya mendapatkan pendanaan sebanyak RM5.6 bilion dan RM9.6 bilion untuk tempoh 10 tahun setiap satu.

Namun apa yang mengejutkan ialah pemotongan sebanyak RM630 juta dan RM906 juta untuk ‘komisyen dan perbelanjaan’, mewakili sekitar 10 peratus daripada setiap satu jumlah pendanaan.

Demikian menurut laporan terbaru akhbar The Edge yang mengundang komen Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua terhadap amalan 1MDB yang tidak diketahui umum ini.

Dalam kenyataannya, Tony bertanya sama ada 1MDB begitu ‘bodoh’ sehingga boleh membayar komisyen melebihi kadar pasaran terhadap institusi kewangan Goldman Sachs yang membantunya mengumpul dana.

“Bayaran standard yang dibayar kepada institusi perbankan atau entiti lain berada pada kadar 0.1% hingga 2%. Tenaga Nasional contohnya mengumpul dana US$350 juta dengan membayar hanya 2% untuk perbelanjaan.”

“Untuk pengumpulan dana lebih besar seperti Penerbangan Malaysia Bhd, dana berjumlah US$1 bilion dikumpulkan dengan hanya 0.5% dibelanjakan. Bagaimana 1MDB, syarikat milik kerajaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sendiri boleh membelanjakan kos yang begitu tinggi untuk mengumpulkan dana ini?” soal Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Syarikat perbankan multinasional Goldman Sachs merupakan satu-satunya pengaturcara untuk kedua-dua kegiatan mendapatkan dana. Kebiasaannya, Goldman Sachs sekadar mengenakan bayaran tidak sampai 2% sepertimana yang dikenakan ke atas syarikat Apple dan Kerajaan Mexico dengan kadar bayaran 0.3% dan 0.2% masing-masing.

“Adakah 1MDB begitu bodoh membayar sehingga 11.2% dan 9.4%? Atau adakah Goldman Sachs begitu tidak beretika sehingga mengenakan bayaran lebih sepuluh kali ganda daripada kadar pasaran?” soal Tony sinis.

“Oleh itu siapa yang mendapat ‘komisyen tertentu’ ini, sepertimana yang disebutkan dalam dokumen pengumpulan dana?” tambahnya.

Menurut beliau lagi rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran di sebalik pembayaran komisyen ratusan juta ringgit oleh 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kami mencabar Dato Seri Najib Razak untuk mendedahkan secara terperinci pihak yang yang menerima jumlah terkumpul RM1.536 bilion ‘komisyen, yuran dan perbelanjaan’ tersebut, bagi membuktikan transaksi ini dilakukan secara jujur,” tambah Tony.

1MDB adalah syarikat pelaburan strategik negara yang telah mengumpul hutang berjumlah lebih RM36 bilion dalam jangkamasa 4 tahun ditubuhkan. – Roketkini.com