Berita

Akta Hasutan diguna kerana takut rakyat berani bersuara

PETALING JAYA, 28 OKT: Siri tangkapan, siasatan dan pendakwaan dengan menggunakan Akta Hasutan terhadap kira-kira 20 aktivis dan ahli politik Pakatan Rakyat adalah bukti kerajaan takut berdepan dengan rakyat yang berani bersuara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya di majlis kutipan dana Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) malam tadi mengimbau kembali peristiwa yang menimpanya sehingga dipenjarakan selepas disabit bersalah di bawah Akta Hasutan.

“Saya didapati bersalah di bawah Akta Hasutan. Saya ingat, saya boleh (menang) kerana saya bercakap benar. Tetapi saya terus ditahan.

“Di bawah Akta Hasutan, sesiapa pun boleh didapati bersalah,” kata Guan Eng menegaskan, kezaliman akan terus berlaku sekiranya rakyat berjaya didiamkan.

Pada 28 Februari 1995, Lim didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dikatakan menyebabkan ‘perasaan tidak puas hati terhadap pelaksanaan keadilan di Malaysia’.

Perbicaraan tersebut berkaitan pendedahannya mengenai kes rogol gadis bawah umur melibatkan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Lim ketika itu merupakan ahli parlimen Kota Melaka.

Pada 17 Mac 1995, satu tuduhan tambahan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan dikenakan ke atasnya kerana ‘mencetak dengan niat jahat’ risalah mengandungi perkataan ‘mangsa terpenjara’ bagi menggambarkan murid sekolah itu.

Dalam perbicaraan pertama pada tahun 1997, Lim disabit bersalah dalam kedua-dua tuduhan dan didenda sebanyak RM15,000.

Kerajaan kemudiannya merayu ke atas hukuman yang dianggap terlalu ringan dan pada perbicaraan berikutnya hukuman ditambah kepada penjara tiga tahun dan Guan Eng dilucut jawatannya sebagai ahli parlimen.

Justeru itu kata Guan Eng, tindakan kerajaan menakut-nakutkan orang ramai daripada terus bersuara menyebabkan isu sebenar dan fakta berhubung sebarang salah laku pihak berkuasa mahu pun individu disekat daripada pengetahuan orang ramai.

“(Jika tidak bersuara), anda akan meneruskan ketidakfahaman itu.

“Apa yang kita nak lihat sekarang ini bukan sekadar pemansuhan Akta Hasutan, tetapi kita nak lihat Malaysia yang baru dan bebas daripada sebarang kerakusan,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com.