Berita

Generasi muda cetus gelombang ketiga kebangkitan

PETALING JAYA, 28 OKT: Keberanian generasi muda dan mahasiswa mempertahankan hak kebebasan bersuara bakal mencetus gelombang kebangkitan baru di kalangan rakyat Malaysia, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut beliau, kejayaan mahasiswa membuka pintu pagar Universiti Malaya bagi membolehkan mereka memasuki kampus malam tadi untuk mengikuti pidato Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan negara ini masih punya harapan untuk perubahan dan keadilan.

“Kita memerlukan geombang ketiga, dan rakyat akan kembali bangkit berjuang,” kata Kit Siang di hadapan kira-kira 1,000 hadirin majlis kutipan dana Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menjelaskan, ‘gelombang pertama kebangkitan’ berlaku pada tahun 1998 selepas pemecatan Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta tuduhan liwat pertama oleh kerajaan yang kemudiannya membentuk gerakan Reformasi.

Manakala ‘gelombang kedua’ berlaku pada 2008 ketika Pakatan Rakyat dibentuk, yang didahului kejayaan parti-parti pembangkang menafikan tradisi kemenangan majoriti dua pertiga kerusi parlimen Barisan Nasional di Dewan Rakyat.

“Gelombang kebangkitan ketiga berlaku pada 2013 (PRU-13) dan kita mendapat sokongan 52 peratus rakyat Malaysia,” kata Kit Siang, disambut tepukan gemuruh hadirin.

Dalam ucapannya malam tadi Kit Siang turut menyatakan setiakawan kepada Anwar yang sanggup pulang ke Malaysia dari luar negara bagi menghadapi perbicaraan di bawah sistem kehakiman yang pincang, meskipun berdepan hukuman penjara dalam kes liwat kedua.

“Mengapa Anwar kembali ke Malaysia, (walaupun) dia ada diminta untuk tinggal di Turki dan London? Kerana dia mempunyai pendirian dan mahu menunjukkan tauladan.

“Ini adalah sikap seorang patriot yang cintakan negaranya. Beliau bukan pengkhianat atau pengacau. Oleh itu beliau layak mendapat sokongan rakyat Malaysia.

“Kita (Pakatan Rakyat) membawa politik kesedaran baru kepada rakyat, dan ini adalah tanda gelombang ketiga kebangkitan rakyat untuk perubahan di Malaysia,” kata Kit Siang. – Roketkini.com.