Berita

Kejar hutang berjuta syarikat kroni, bukan pelajar pinjam PTPTN

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Kerajaan sepatutnya bersungguh-sungguh untuk menuntut hutang berjuta-juta ringgit daripada syarikat kroni, bukannya hutang pelajar yang meminjam dengan PTPTN, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Beliau mempersoalkan perkara tersebut selepas Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan 2012 menunjukkan banyak syarikat yang masih memiliki tunggakan hutang mencecah jutaan ringgit dengan kerajaan.

“Pada masa ini, seolah-olah pihak yang berhutang berjuta-juta, malah berbilion ringgit dibiar bebas, tetapi mereka yang berhutang hanya ribuan ringgit diburu tanpa henti.

“Pemimjam PTPTN yang gagal membayar hutang diancam untuk disenarai hitam, namun pengarah dan pemilik syarikat yang berhutang jutaan ringgit dengan kerajaan ini bebas untuk kekal sebagai pengarah, malah bebas untuk memiliki syarikat lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perbahasan Parlimen semalam, beliau membangkitkan beberapa syarikat dalam penyata tersebut yang memiliki tunggakan hutang yang amat besar dengan kerajaan, termasuk syarikat swasta dan beberapa syarikat milik kerajaan melalui Khazanah Nasional dan Menteri Kewangan Diperbadankan (Ministry of Finance Incorporated).

“Misalnya, dinyatakan pembayaran semula Perwaja Steel dan Equal Concept (yang ada pegangan dalam Perwaja) pada tahun 2012 sepatutnya RM30.42 juta dan RM21.57 juta. Kedua-duanya gagal untuk membayar sesen pun. Malah, sebahagian hutang mereka turut dihapuskan (RM58.06 juta bagi Perwaja, RM41.52 bagi Equal Concept).

“Dengan kata lain, mereka bukan sahaja tidak dihukum kerana gagal membayar hutang, malah mendapat ‘hadiah’ daripada kerajaan dengan menghapuskan sebahagian daripada hutang itu,” katanya lagi.

Antara syarikat lain yang turut tersenarai adalah Lebuhraya Shapadu yang hanya membayar RM5.53 juta daripada tunggakan RM17.83 juta (dengan jumlah hutang RM83.9 juta) dan syarikat paling terkenal – National Feedlot Corporation milik Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil yang tidak membayar sesen pun daripada tunggakan RM17.83 juta (dengan jumlah hutang RM250 juta).

Malah, kata Kian Ming lagi, senarai itu tidak termasuk hutang kepada syarikat swasta yang terpaksa dimansuhkan kerajaan, seperti Invent QJaya dengan jumlah hutang RM244 juta, serta pinjaman mudah (soft loan) mencecah RM4.6 bilion untuk ‘menyelamatkan’ Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Seperti kata-kata usahawan masyhur John Paul Getty – ‘jika anda berhutang beberapa ratus ringgit dengan kerajaan, itu adalah masalah anda. Tetapi jika anda berhutang jutaan ringgit, itu adalah masalah kerajaan’.

“Inilah masalah kerajaan kita dengan sikapnya menanggapi hutang. Kerajaan perlu konsisten dalam pendekatannya memburu penghutang. Pada masa ini, yang diancam hanyalah peminjam PTPTN,” katanya lagi. – Roketkini.com