Berita

Universiti Malaya tidak berdaya halang Anwar, kebangkitan mahasiswa

PETALING JAYA, 28 OKT: Ribuan mahasiswa berkumpul di Dataran Tuanku Canselor Universiti Malaya (UM) bagi mendengar pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam tadi.

Meski dihalang pihak universiti, mahasiswa nampaknya tidak berganjak sejak mula berhimpun sekitar jam 8 malam. Pihak universiti malah bertindak mengunci pagar laluan Kuala Lumpur bagi menghalang pergerakan keluar masuk mereka yang hadir berhimpun.

Namun begitu, semangat mahasiswa ternyata tidak terkalahkan dengan sekadar seutas rantai besi. Setelah beberapa kali memohon supaya pagar dibuka, mereka akhirnya menggegar pagar kampus dan memutuskan rantai besi terbabit.

Terlebih dahulu, pihak UM cuba untuk menggagalkan perhimpunan anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dengan tidak membenarkan mahasiswa dari dalam kawasan kampus untuk keluar menyertai kumpulan yang lebih besar di perkarangan pintu masuk.

Larangan itu adalah tambahan kepada ‘jenaka petang’ pihak pentadbiran universiti yang mengeluarkan arahan pulang awal kepada kakitangan, dengan alasan gangguan elektrik.

Rundingan antara pihak keselamatan dimudahkan dengan kehadiran Profesor Madya Dr Azmi Shahrom yang berjaya memujuk supaya mahasiswa yang terkurung di dalam dibenarkan keluar bersama-sama peserta lain.

Anwar akhirnya tiba sekitar jam 9.30 malam, diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail serta Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar. Mereka kemudiannya diarak menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju Dataran Tuanku Canselor di mana Anwar kemudiannya menyampaikan pidato beliau.

Program pidato ‘40 tahun dari UM ke penjara’ menerima tentangan hebat pihak universiti, namun presiden PMUM Fahmi Zainol sekadar tersengih ketika ditanya tentang akibat yang bakal dihadapinya.

“Sepatutnya universiti tidak perlu sekat program ini. Ia memalukan universiti,” katanya.

“Kita nak lihat universiti berperanan dari segi kebebasan bersuara,” tambah beliau sambil menegaskan bahawa masyarakat perlu tahu apa sebenarnya peranan institusi pengajian tinggi.

“Bertindak biarlah guna akal. Janganlah layan mahasiswa seperti budak-budak sekolah. Saya rasa universiti tak akan ambil tindakan,” katanya tegas.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetahui keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap hukuman penjara yang diberikan Mahkamah Rayuan dalam kes Liwat II pada hari ini dan esok di Istana Kehakiman, Putrajaya. – Roketkini.com