Berita

Najib berselindung isu jaminan kerajaan terhadap hutang 1MDB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berkata benar sepenuhnya apabila menyatakan bahawa kerajaan hanya menjamin RM5.8 bilion dari keseluruhan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengulas jawapan Kementerian Kewangan semalam bahawa 1MDB tidak menerima sebarang jaminan daripada kerajaan melainkan hutang RM5.8 bilion tersebut.

“Jawapan itu hanyalah ‘separuh benar’, kerana Kementerian Kewangan turut mengeluarkan surat sokongan (yang berfungsi sebagai jaminan) untuk pinjaman lain 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memetik laporan The Edge Malaysia Weekly minggu ini berhubung surat sokongan daripada kerajaan Persekutuan kepada 1MDB Global Investment Limited untuk membuat pinjaman berjumlah RM9.6 bilion pada Mac 2013.

“Surat itu menyatakan ‘jika 1MDB sebagai pemegang saham juga tidak mampu menyuntik dana agar 1MDB Global Investments mampu membayar hutang, (kerajaan) Malaysia perlu campur tangan untuk menyuntik dana secukupnya agar peminjam mampu membuat pembayaran.

“Tanpa menyebut secara langsung, surat sokongan itu secara praktikalnya menjamin hutang 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, surat tersebut menimbulkan isu baru – jumlah sebenar bebanan yang ditanggung kerajaan melalui jaminan seumpama itu.

“Sementara jaminan rasmi kerajaan terhadap hutang (1MDB) tidak secara langsung dianggap hutang kerajaan, ia sekurang-kurangnya didokumenkan sebagai bebanan luar jangka kerajaan.

“Namun, surat sokongan meragukan ini tidak didaftarkan dalam mana-mana penyata kewangan kerajaan, walaupun kesannya besar dan buruk. Rakyat Malaysia dan penganalisis tidak tahu sebanyak mana jaminan dibuat kerajaan melalui surat sebegini,” katanya lagi.

PKFZ guna cara sama

Pengerusi DAP Selangor itu menambah, cara yang sama digunakan bekas Menteri Pengangkutan Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM4.6 bilion.

Empat surat sokongan dikeluarkan dua bekas Presiden MCA itu bagi membolehkan kontraktor Kuala Dimensi Sdn Bhd meraih RM4.6 bilion dalam bentuk bon bagi projek penuh masalah itu.

“Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersama Jawatankuasa Kira-kira Awam mengesahkan surat tersebut sama seperti jaminan hutang. Akibatnya, kerajaan terpaksa membayar bon berjumlah RM4.6 bilion bagi menyelamatkan projek itu,” katanya lagi.

Kata Pua, berdasarkan skandal PKFZ itu, jelas kerajaan bertindak menjamin hutang-hutang 1MDB, malah mungkin kepada syarikat dan agensi kerajaan lain.

“Maka Najib perlu memberi penjelasan dan membuat penafian, bahawa surat sokongan yang dikeluarkan itu tidak bermakna jaminan kepada hutang.

“Beliau juga perlu memberi komitmen bahawa kerajaan tidak akan membayar hutang 1MDB,” ujar Pua. – Roketkini.com