Berita

Pertahan Ibrahim Ali, alasan Jabatan Peguam Negara tak logik

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengecam keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung ancaman membakar Bible bahasa Melayu.

Katanya, langkah itu seolah-olah membenarkan Ibrahim terus melakukan apa sahaja, walaupun hakikatnya tidak boleh mana-mana kitab suci agama diancam untuk dibakar.

“Apakah ada justifikasi ‘kontekstual’ yang membenarkan ancaman untuk membakar Al-Quran? Tentu saja tidak.

“Tidak ada sebarang justifikasi dalam apa jua konteks yang membenarkan ancaman bakar terhadap mana-mana kitab suci dalam keberagaman agama di Malaysia untuk menjaga persefahaman, keharmonian dan keamanan bersama.

“Seperti yang diungkapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri bahawa kita tidak boleh hanya ‘bertolak ansur’, tapi harus ‘menerima’ dan juga meraikan kepelbagaian etnik, agama serta budaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

AGC semalam mempertahankan tindakan Ibrahim itu dengan menyatakan bahawa tindakannya tiada dalam lingkungan definisi kecenderungan menghasut mengikut Akta Hasutan.

Menurut AGC, Ibrahim tidak berniat menghina atau menimbulkan provokasi, tetapi hanya mempertahankan kesucian agama Islam dan tidak ditakrif sebagai kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

AGC juga menyatakan, tiada kesalahan dibuat Ibrahim di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan.

“Jadi bagaimana dengan tindakan mempertahankan agama-agama lain seperti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme di negara ini?

“Soalan ini menunjukkan betapa tidak masuk akal dan justifikasi sangat keterlaluan dalam keputusan mempertahankan Ibrahim itu dengan mengatakan wujudnya ‘konteks’ tertentu, yang mana tidak menjadi satu kesalahan untuk mengeluarkan ancaman membakar kitab suci, melukai perasaan masyarakat agama lain dan menyebar kebencian antara agama,” ujar Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menggesa Najib untuk mengumumkan dasar ‘toleransi sifar’ terhadap ancaman membakar kitab suci semua agama sejajar dengan matlamat Presiden Umno itu menjadikan Malaysia negara penuh kesederhanaan.

“Najib juga harus mengumumkan bahawa dia akan melantik Peguam Negara yang komited kepada inisiatif Gerakan Global Moderat (GMM) dan bersedia memecat Tan Sri Gani Patail,” tegasnya. -Roketkini.com