Berita

Zahid Hamidi didesak jelaskan penahanan tiga orang awam di Tawau

KUALA LUMPUR, 29 OKT: DAP Sabah hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan motif penangkapan tiga orang awam pada 22 September lalu yang sehingga kini masih belum dibebaskan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong, Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong dan Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin dalam kenyataan bersama berkata, perkara tersebut wajib dinyatakan kerana menimbulkan kebimbangan terhadap keluarga mangsa.

“Kami menuntut Zahid menjelaskan punca penahanan mereka. Adakah mereka ditahan pasukan polis atau Unit Tindakan Khas?

“Apakah mereka ini ditahan atau dipenjarakan tanpa bicara di bawah Akta Pencegahan Jenayah? Jika benar, apa kejahatan yang telah dilakukan?

“Adakah penahanan ini berkaitan dengan langkah untuk memerangi ancaman keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE)?” soal mereka.

Akhbar berbahasa Mandarin Daily Express pada 23 September lalu telah melaporkan kejadian tersebut.

Menurut laporan, seorang saksi menyaksikan sebuah kereta Proton Wira berwarna merah dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna ditahan tujuh lelaki bersenjata yang menaiki tiga uah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Virgo.

Dalam kejadian itu, cermin kereta dipecahkan dan penumpang diheret keluar.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas di Batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Pada 11 Oktober lalu, Chan yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah mengadakan sidang media bersama dua daripada tiga isteri mangsa-mangsa, untuk mengetahui status kedudukan suami mereka.

Kamsiria, isteri kepada Mohammad Sarail mengatakan, saksi di tempat kejadian memberitahu, suaminya dan dua lagi ditahan dengan kepala ditutup serta tangan diikat sebelum dibawa pergi.

Kamsiria dan Nuribia Lebensuh, isteri kepada Zulfikar Omar (nelayan) telah membuat laporan polis, namun sehingga kini pihak polis berdiam diri dan enggan mengulas lanjut.

Sehubungan itu, DAP Sabah turut mendesak Pesuruhjaya Polis Sabah menyiasat dan mengemukakan penjelasan.

Tegasnya, ahli keluarga terdekat suspek perlu dimaklumkan tentang jenis kesalahan yang disyaki dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan.

“Walaupun ketiga mereka ini mungkin suspek pengganas, namun keluarga mereka berhak mendapat jawapan tentang apa sebenarnya berlaku.

“Pihak berkuasa mesti menjelaskannya terutama kepada isteri dan anak-anak mereka,” ujar kenyataan tersebut. – Roketkini.com