Berita

KDN dan Polis digesa giat usaha banteras perjudian

KLUANG, 30 OKT: Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysa (PDRM) menggiatkan usaha membanteras kegiatan perjudian di Johor, khususnya di daerah Kluang.

Kata Chin Tong, peningkatan jumlah premis judi terutamanya di daerah ini dibimbangi menyumbang kepada pertambahan pelbagai kes-kes jenayah.

“Semasa membuat tinjauan di kawasan Kluang dan berjumpa dengan pengundi, mereka mengadu bahawa salah satu penyumbang kepada kes-kes jenayah adalah pusat judi atau pusat hiburan,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Terdahulu, polis Johor dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan bahawa seramai 1,673 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian ditahan menerusi 3,611 serbuan dan pemeriksaan.

Operasi dan serbuan yang dibuat sejak Januari hingga 30 September membabitkan rampasan 3,832 mesin judi dan wang tunai berjumlah RM144,087.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada 27 Oktober lalu menyatakan bahawa pihak berkuasa memerlukan ‘alat yang berkesan’ untuk membanteras kegiatan perjudian menerusi internet yang menular sejak kebelakangan ini.

Kata Khalid, pindaan undang-undang yang berkesan diperlukan sebagai satu proses pembanterasan jangka masa panjang.untuk membanteras kegiatan itu.

Namun sehingga hari ini masih belum ada tindakan drastik dibuat, termasuk ura-ura bahawa Ketua Balai Polis Daerah akan ditukarkan dalam tempoh 24 jam sekiranya masih wujud kegiatan perjudian.

“Walaupun laporan media menyatakan bahawa Ketua Polis Negara mengarahkan supaya tindakan diambil terhadap perjudian haram, semakin banyak pusat judi baru tumbuh seperti cendawan selepas hujan walaupun operasi dan tindakan dijalankan,” kata Chin Tong yang juga merupakan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Transparency International-Malaysia (TI-M) sebelum ini mencadangkan kepada polis bagi mempertimbangkan pelaksanaan sistem giliran penempatan bagi setiap pegawai dan anggota keselamatan tersebut.

TI-M dalam satu kenyataan menyebut, langkah mengehadkan perkhidmatan pegawai polis kepada tiga tahun di satu-satu lokasi mampu mencegah salahguna kuasa dan rasuah.

Pemantau rasuah antarabangsa itu juga sebelum ini menyatakan kebimbangan berkenaan reputasi dan integriti PDRM yang banyak dikaitkan dengan kegiatan rasuah.

Dapatan dari kajian Malaysia Corruption Barometer 2013 sebelum ini menyatakan bahawa polis dan institusi politik terus dianggap sebagai institusi paling korup di Malaysia. – Roketkini.com.