Berita

Bila Gani nak tunai janji semak dakwaan bawah Akta Hasutan? – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kenyataan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail sebelum ini menguatkan pandangan umum bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dan budi bicaranya untuk tidak mendakwa Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengugut untuk membakar Bible berbahasa Melayu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merujuk kenyataan bekas ketua pendakwaraya di Pejabat Peguam Negara Datuk Stanley Isaac bahawa keengganan Gani mendakwa Ibrahim adalah adalah ‘cacat dari sudut undang-undang’.

Isaac dalam kenyataannya hari ini berkata, prima facie dalam kes tersebut adalah ‘jelas’ dan Gani seharusnya membiarkan mahkamah menentukan ‘konteks’ dan ‘niat’ kenyataan Ibrahim Ali itu.

Penjelasan Gani juga menyebabkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah, yang pernah berkhidmat dengan Pejabat Peguam Negara selama 16 tahun sekitar tahun 70-an dan 80-an, untuk menulis surat terbuka merujuk kontroversi tersebut.

Vorah dalam surat terbukanya 23 Oktober lalu menjelaskan, adalah ‘bermasalah’ apabila Peguam Negara mencantumkan dua proses, iaitu proses mahkamah dan proses di mana Peguam Negara memutuskan sama ada untuk mendakwa seseorang di bawah Akta Hasutan.

Kata Vohrah, Akta Hasutan adalah undang-undang menindas yang tidak mengambil kira niat.

Vohrah turut bertanya, apakah Peguam Negara telah membuat kajian mengapa mahkamah negara-negara Komanwel tidak lagi menggunakan atau memansuhkan serta-merta undang-undang tersebut.

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman sebelum ini turut mengkritik tindakan Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula kes, selepas pertuduhan dibuat.

Kata Abu Talib, siri pertuduhan di bawah Akta Hasutan terhadap puluhan wakil rakyat Pakatan Rakyat dan aktivis dilihat sebagai “penindasan” dan bukannya pendakwaan.

Justeru itu, Kit Siang mengingatkan Gani berhubung kenyataannya sendiri 9 September lalu bahawa Pejabat Peguam Negara akan menyemak semula dakwaan terhadap beberapa tokoh, termasuk pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom.

“Bolehkah Gani menjelaskan apa yang telah berlaku kerana sudah hampir dua bulan sejak pengumumannya untuk mengkaji semula siri pendakwaan tersebut?” soal Kit Siang. – Roketkini.com