Berita

DAP Sabah sedia jumpa polis, bincang penahanan tiga orang awam di Tawau

TAWAU, 31 OKT: Pengerusi DAP Naib Sabah Chan Foong Hin menyatakan kesediaannya untuk bertemu Ketua Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman bagi membincangkan isu penahanan tiga orang awam sejak 22 September lalu yang sehingga kini masih belum dibebaskan.

Chan dalam kenyataannya hari ini menjawab kenyataan Jalaluddin yang menyatakan bahawa dia tidak pernah dihubungi DAP Sabah, rentetan satu sidang akhbar di Tawau pertengahan Oktober lalu bersama isteri-isteri tahanan.

“Membuat permintaan secara terbuka tidak bermakna Ketua Polis Negeri tidak perlu memberikan jawapan.

“Mungkin Datuk Jalaluddin terlalu sibuk untuk membaca akhbar, dan saya juga tertanya-tanya mengapa beliau tidak sedar tentang perkara, yang seharusnya beliau dimaklumkan.

“Ketua Polis Negeri tidak perlu mengenali saya secara peribadi untuk melakukan siasatan. Dia hanya perlu mengetahui butir-butir kes dan telus menjawab persoalan orang ramai,” kata Chan.

Pada 11 Oktober lalu, Chan yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah mengadakan sidang media bersama dua daripada tiga isteri mangsa-mangsa, untuk mengetahui kedudukan suami mereka.

Kamsiria, isteri kepada Mohammad Sarail berkata, saksi di tempat kejadian memberitahu, suaminya dan dua lagi ditahan dengan kepala ditutup serta tangan diikat sebelum dibawa pergi.

Menurut laporan, seorang saksi menyaksikan sebuah kereta Proton Wira berwarna merah dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna ditahan tujuh lelaki bersenjata yang menaiki tiga uah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Virgo.

Dalam kejadian itu, cermin kereta dipecahkan dan penumpang diheret keluar. Kejadian itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Kata Chan, meskipun ketiga mereka ditangkap sebagai suspek pengganas, namun keluarga mereka berhak mendapat jawapan, terutamanya isteri dan keluarga mereka.

Justeru itu, Chan berharap satu pertemuan dengan Ketua Polis Negeri dapat diadakan untuk membincangkan isu-isu jenayah seperti rompakan, kecurian kereta kenderaan dan paling kritikal, isu keselamatan di Sabah. – Roketkini.com.