Berita

Apa tindakan kerajaan ketika harga minyak dunia jatuh? – Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Adalah tidak adil kepada rakyat Malaysia sekiranya cukai jualan dikenakan ketika harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras semasa, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Menurut Chin Tong, kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat tentang langkah yang bakal diambil berhubung masalah cukai jualan ke atas petroleum sekiranya berlaku kejatuhan harga minyak dunia.

Ujarnya, walaupun penurunan harga minyak mengurangkan subsidi, pada masa yang sama hasil kerajaan turut berkurangan untuk sekurang-kurangnya 30 peratus dari pendapatan kerajaan yang berpunca daripada hasil petroleum berkaitan melalui Petronas.

“Namun, kerajaan tidak patut pula mengenakan cukai jualan petroleum sekiranya harga minyak mentah dunia berada di bawah paras semasa, untuk menampung jurang pendapatan akibat pendapatan petroleum yang semakin mengecil,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Jelas Chin Toong, Belanjawan 2014 dibentangkan ketika harga minyak mentah dianggarkan pada kadar USD110 setong, manakala Belanjawan 2015 dibuat ketika harga minyak mentah pada kadar USD105 setong, sedangkan harga semasa sekarang ini berlegar sekitar USD 80 – 85 setong.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataannya sebelum ini berkata bahawa ‘masalah sekarang adalah untuk mengembalikan RM23.5 bilion tahun lalu, dan RM21 bilion tahun ini yang dibayar syarikat petroleum untuk menurunkan harga minyak’.

Namun, ketika ditanya mengenai pilihan kerajaan sekiranya berlaku penurunan harga minyak mentah dunia, Ahmad Maslan menjawab ‘kerajaan boleh mengurangkan harga petrol (RON95) jika minyak mentah dunia jatuh serendah RM1.72 per liter dan mengenakan cukai jualan RM0.58 sen.

Bagi pilihan kedua, kerajaan boleh mengurangkan harga petrol ke paras RM1.72, berdasarkan pasaran dunia dan tidak mengenakan cukai jualan, bagaimanapun kerajaan tidak akan memperolehi pendapatan untuk pembangunan negara.

Pada masa ini, harga petrol RON95 ialah pada kadar RM2.30 seliter tanpa cukai.

Justeru itu, Chin Tong menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membatalkan cadangan Ahmad Maslan tersebut, yang menunjukkan kerajaan seperti hidup dalam dunia berasingan dengan realiti ekonomi negara

“Adalah satu kelucuan apabila hanya beberapa hari yang lalu, Menteri Kewangan, Menteri Kewangan Kedua dan Timbalan Menteri Kewangan masih lagi memikirkan tentang skim minyak bersubsidi yang hanya menguntungkan kroni akibat perancanganyang tidak teliti.

“Kerajaan harus menjawab secara adil kepada rakyat Malaysia tentang bagaimana berurusan dengan trend berlawanan dalam isu harga minyak mentah dunia,” kata Chin Tong. – Roketkini.com