Berita

Jurang kesaksamaan gender 2014, kedudukan Malaysia merosot

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Laporan dikeluarkan Jurang Gender Sedunia 2014 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan bahawa Malaysia telah turun dari tangga 102 pada tahun 2013, ke tangga 107 tahun ini, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Kata Nie Ching, meskipun skor keseluruhan tidak berubah, Malaysia tetap mengalami kemerosotan kesaksamaan gender berikutan skor pengupayaan politik dari 0.053 kepada 0.052, jauh berbeza berbanding tahun pertama laporan ini diterbitkan pada 2006 dengan skor 0.056.

“Jika kita lihat, pada pilihanraya umum lalu jelas menunjukkan jumlah pengundi wanita lebih ramai.

“Maka adalah wajar menteri daripada kalangan wanita ditambah untuk memberi fokus kepada permasalahan wanita bagi mengimbangai jurang tersebut,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Laporan tersebut turut menyatakan skor pengupayaan di kalangan politik merangkumi aspek jumlah wakil rakyat wanita di parlimen, jawatan kementerian ataupun ketua negeri.

Pada tahun 2004, peratusan wakil rakyat wanita di parlimen adalah 9.6 peratus dan meningkat kepada 10.4 peratus pada tahun 2008, namun jumlah tersebut kekal sehingga tahun 2014.

Bagi aspek jawatan kementerian, pada 2010, hanya dua wanita dilantik sebagai menteri daripada 28 jawatan.

Manakala pada 2013, meskipun jumlah jawatan kementerian meningkat, tetap hanya 2 wanita dilantik sebagai menteri penuh daripada jumlah 35 jawatan menyebabkan peratusan berkurangan kepada 5.7 peratus dari 7.1 peratus yang dicatatkan pada tahun 2010.

“Itu menunjukkan usaha pemberdayaan politik wanita perlu dilaksanakan dengan segera. Kita boleh mengambil contoh Indonesia yang berada di tangga 97 sebagai perbandingan,” ujar Nie Ching.

Kabinet terbaru Presiden baru Indonesia Joko Widodo menyenaraikan lapan menteri penuh wanita dari 34 kementerian, meningkat 100 peratus berbanding pada era pentadbiran presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

“Pelantikan ini menunjukkan Indonesia jauh lebih mengiktiraf peranan wanita, terutamanya dalam pelantikan Retno (Retno Lestari Priansari Marsudi) sebagai Menteri Luar Negeri wanita pertama di negaranya.

“Jika dibandingkan dengan Malaysia, posisi menteri wanitanya hanya dua daripada 35 menteri kabinet, iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Datuk Rohani Abdul Karim) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Nancy Syukri).

“Malaysia bukan saja jauh ketinggalan dari segi jumlah menteri wanita, tetapi juga ketinggalan dari segi kepentingan jawatan yang diamanahkan kepada wanita,” kata Nie Ching. – Roketkini.com.