Berita

UM digesa gugur pertuduhan terhadap Fahmi dan lapan siswa

PETALING JAYA, 2 NOV – Kumpulan Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) menggesa pertuduhan terhadap Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan lapan mahasiswa lain digugurkan sekiranya institusi itu masih mempunyai rasa hormat terhadap kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

Setiausaha Agung Kumpulan Progresif UM Vince Tan dalam satu kenyataannya mengecam tindakan Universiti Malaya (UM) mengheret pelajarnya yang menyertai program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘40 tahun dari UM ke Penjara’.

“Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sekali lagi digunakan untuk menimbulkan ketakutan di kalangan mahasiswa dengan tujuan membisukan suara dan aktivisme mahasiswa.

“Kami menuntut supaya pihak universiti memberi ruang perdebatan dan wacana intelek tanpa mengambil kira pendirian politik demi semangat kebebasan akademik,” tegasnya.

Menurut mahasiswa jurusan undang-undang tersebut, meskipun belum mengetahui senarai penuh mahasiswa yang akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib, Fahmi Zainol telah dipastikan berdepan sembilan pertuduhan.

31 Oktober lalu, Fahmi dan lapan yang lain menerima surat jawatankuasa disiplin dan berdepan sembilan pertuduhan berhubung himpunan bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, di hadapan Dewan Tunku Canselor.

Antara pertuduhan dikenakan keatas Fahmi ialah menganjurkan perhimpunan melebihi lima orang tanpa kebenaran naib canselor dan menjalankan urusan yang ‘merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti’ di kampus.

Tambah Vince, tindakan UM menggunakan undang -undang termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membantutkan wacana intelektual, menindas hak mahasiswa untuk bersuara selain menafikan kebebasan akademik.

“Pihak universiti sentiasa berat sebelah dalam meluluskan program terutamanya yang melibatkan forum atau debat bersama pemidato dari kalangan pemimpin pembangkang,” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk turut sama bersolidariti bersama Fahmi dan lapan mahasiswa UM lain yang didakwa.

Fahmi, bakal membela diri pada Jumaat, 7 November jam 9 pagi dan pendengaran jawatankuasa tatatertib akan dibuat di Kompleks Perdana Siswa. – Roketkini.com