Berita

Jawapan bertentangan 1MDB dan Goldman Sachs, siapa yang berbohong?

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Jawapan berbeza yang diberikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Goldman Sachs berhubung komisen setinggi RM1.54 bilion dalam usaha pengumpulan dana sekali lagi menimbulkan persoalan berhubung tindakan meragukan badan pelaburan milik Kementerian Kewangan itu.

Ia berhubung pemotongan sebanyak RM630 juta dan RM906 juta untuk ‘komisen dan perbelanjaan’ daripada dana yang diraih, iaitu RM5.6 bilion pada tahun 2012 dan RM9.6 bilion pada tahun 2013.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, jawapan yang saling bertentangan itu ternyata sama menggerunkan seperti jumlah wang yang terlibat.

“Goldman menyatakan tiada komisen dibayar kepada pihak ketiga, dan semua caj dibayar kepada mereka, termasuk penasihat undang-undang dan akaun yang terlibat.

“1MDB sebaliknya mendakwa sejumlah besar daripada RM1.54 bilion adalah sebagai diskaun kepada pemegang bon (bond-subscriber), dan tidak dibayar kepada Goldman.

“Jadi siapakah yang berkata benar? Atau kedua-duanya ada menyembunyikan sesuatu?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam laporan The Edge Financial Daily 29 Oktober lalu, Ketua Komunikasi Korporat Goldman Sachs Asia Pasifik Edward Naylor berkata ‘komisen, bayaran dan perbelanjaan’ adalah untuk Goldman Sachs atas risiko yang diambil melalui pengeluaran bon itu, dan tidak dibayar kepada pihak luar.

Namun dua hari kemudian, 1MDB menyatakan perkara berbeza, bahawa RM1.54 bilion itu adalah diskaun kepada pemegang bon yang terlibat dalam pengumpulan dana itu.

Jumlah tersebut, iaitu 10 peratus daripada jumlah dana yang dikumpul ternyata amat meragukan, memandangkan bayaran biasa kepada bank pelaburan yang menguruskan proses itu adalah pada kadar 0.1 hingga 2 peratus sahaja.

Misalnya, kerajaan Mexico dan Uruguay yang masing-masing mengeluarkan bon berjumlah USD3.9 bilion dan US2 bilion hanya memotong 0.2 peratus dan 0.1 peratus bagi tujuan bayaran dan perbelanjaan.

Tiada ‘diskaun’ dalam surat penawaran

Menurut Pengerusi DAP Selangor itu lagi, untuk mengetahui hal sebenar, beliau telah merujuk kepada surat penawaran (offering circular) bagi pengumpulan dana itu yang menunjukkan tiada diskaun diberikan kepada pemegang bon.

“Bermakna bagi setiap RM1 bon yang dijual, pemegang bon membayar RM1 juga. Dalam dokumen itu, tidak disebut langsung tentang ‘diskaun’,” katanya.

Katanya lagi, melainkan Goldman Sachs dan firma guaman yang terlibat – Linklaters LLP dan Baker & Mckenzie LLP – tidak berkata benar dalam surat tawaran itu, 1MDB ternyata cuba menyembunyikan sesuatu berhubung jumlah RM1.54 bilion itu.

“Hanya ada satu cara, 1MDB tidak lagi boleh berdolak dalih dan memberikan maklumat terperinci berhubung penggunaan wang itu – berapa banyak yang dibayar kepada Goldman Sachs, peguam, akauntan, bayaran lain serta diskaun kepada pemilik bon, jika ada.

“Jika gagal berbuat demikian, rakyat hanya boleh menyangka bahawa 1MDB menyembunyikan kebenaran. Dan saya sekali lagi mendesak pengurusan tertingginya dikenakan hukuman keras ekoran isu ini,” katanya lagi. – Roketkini.com