Berita

Mahkamah Persekutuan arah Parlimen bayar balik gaji Gobind ketika digantung

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang disekat, ekoran penggantungannya selama setahun pada tahun 2009.

Keputusan itu di atas hujah bahawa tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menahan gaji dan imbuhan Ahli Parlimen.

Berpuas hati dengan keputusan itu, Gobind berkata, hujah itu ternyata kukuh di sisi undang-undang.

“Gaji ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Wakil rakyat yang digantung kekal sebagai wakil rakyat dan masih perlu menjalankan tugasnya di luar Dewan Rakyat.

“Ramai Ahli Parlimen yang merupakan ahli politik sepenuh masa, yang bergantung sepenuhnya dengan gaji tersebut.

“Apa-apa arahan yang merampas sumber pendapatan itu ternyata zalim dan menekan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 16 Mac 2009, Dewan Rakyat menggantung Gobind selama setahun selepas membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan penggulungan pada sesi perbahasan empat hari sebelumnya.

Susulan daripada keputusan itu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP menggesa agar Parlimen menyemak semula kes seumpama itu yang berlaku sebelum ini.

“Ini adalah kes sivil terakhir yang dikendalikan mendiang karpal Singh di Mahkamah Persekutuan.

“Beliau pernah berkata jika kita menang, beliau berharap Parlimen menyemak semula semua penggantungan sebelum ini dan membayar balik gaji dan imbuhan yang disekat.

“Saya berharap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan menimbangkan permintaan beliau,” katanya lagi. – Roketkini.com