Berita

Muhyiddin tak kisah universiti Malaysia merosot, lebih sibuk hukum mahasiswa

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Menteri Pelajaran Tan Seri Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak kisah dengan kedudukan universiti di Malaysia yang terus merosot, sebaliknya lebih memberi penekanan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mahasiswa, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kit Siang merujuk kedudukan UM yang kini berada pada tangga ke-423 dalam senarai 500 universiti dunia, yang dikeluarkan U.S. News & World Report 28 Oktober lalu.

“Pentadbir universiti harus memanfaatkan ‘kebangkitan’ mahasiswa untuk memulihkan aktivisme dengan harapan negara ini akan melahirkan generasi pemimpin baru yang berfikir, bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa dalam era sains dan teknologi,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kata Kit Siang, selaku Menteri Pelajaran Muhyiddin sudah tentu tidak berbangga dengan pencapaian universiti yang dikatakan terbaik di Malaysia itu, namun tindakan kerajaan terhadap mahasiswa seolah-olah mengesahkan kedudukan Malaysia dalam senarai dikeluarkan U.S. News & World Report.

Tambahnya adalah perkara biasa apabila universiti-universiti dari China, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura menguasai kedudukan universiti terbaik dunia.

Namun, adalah mengejutkan apabila rakyat Malaysia mendapati kedudukan universiti negara ini tercicir di belakang negara-negara lain seperti Iran dan Afrika Selatan.

“Memandangkan Universiti Malaya mempunyai permulaan yang sama dengan Universiti Kebangsaan Singapura semenjak setengah abad lalu, Malaysia seharusnya sudah pun berada di antara lima universiti terbaik Asia.

“Di Malaysia, seperti ada kebisuan dan perasaan malu berikutan hanya satu universiti dari Malaysia yang berada dalam carta 500 universiti peringkat dunia, malah kedudukan itu kerap diambil alih banyak negara dari segi kecemerlangan akademik.

“Adalah tragis apabila Muhyiddin, pentadbiran Universiti Malaya (UM), dan golongan akademik tidak terkesan dengan penurunan kedudukan universiti di Malaysia, tetapi bersungguh-sungguh mencari kesalahan unuk menghukum pemimpin mahasiswa,” kata Kit Siang. – Roketkini.com.