Berita

Umno salah guna kuasa, jadikan Parlimen Belia tempat kempen parti

KUALA LUMPUR, 3 NOV: DAPSY mengecam keras tindakan Umno menyalahguna platform Parlimen Belia sebagai kempen politik parti mereka.

Naib Pengerusi Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan Janice Choo berkata, berikutan tindakan keji itu, beliau yang menyertai program terbabit sebelumnya sebagai calon Parlimen Belia telah menarik diri serta-merta.

“Saya telah menarik diri sebagai calon kerana kecewa dan tidak puas hati dengan penglibatan parti politik Umno dalam Sesi Pengenalan Calon Ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan di Kompleks Belia dan Sukan WPKL.

“Perkara ini jelas melanggar jaminan dalam Dewan Rakyat pada 11 November dan 25 November tahun lalu bahawa Parlimen Belia adalah bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Janice, pada majlis sesi pengenalan calon tersebut, Ketua Pemuda Umno Kuala Lumpur telah dijemput sebagai tetamu khas dan dihadiri oleh sekumpulan besar ahli-ahli pemuda Umno dengan pakaian parti mereka.

“Majlis itu telah bertukar menjadi kempen calon-calon Pemuda Umno, bukan lagi sesi memperkenalkan diri Parlimen Belia.

“Ini jelas adalah satu lagi taktik Umno untuk melindungi kuasa politik parti mereka di kalangan belia,” tegasnya.

Tambahnya, salah guna kuasa Umno ini telah beliau kemukakan kepada pihak penganjur termasuk Kementerian Belia dan Sukan, namun tidak ada sebarang penjelasan munasabah diberikan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 November lalu telah memberi jaminan bahawa Parlimen Belia bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik.

Beliau menyatakan, jaminan kerajaan itu dibuat berdasarkan perkiraan bahawa generasi muda masa kini menyukai konsep terbuka dan cetusan idea-idea baru. -Roketkini.com