Berita

DAP akan terus bersama Anwar

PETALING JAYA, 4 NOV – DAP akan terus sentiasa berdiri teguh bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari-hari akhir beliau akan menghadapi keputusan mahkamah berhubung fitnah Liwat II.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulangi komitmen tersebut ketika berucap di majlis makan malam DAP Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ semalam.

DAP akan terus bersama Anwar kerana tokoh tersebut adalah mangsa fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan peribadinya dalam siri usaha membunuh kerjaya politik beliau, yang kini masuk siri kedua.

“Abad lalu pun sudah ada kes liwat, masuk abad ini pun sekali lagi kes liwat. Jika Anwar masih hidup dua puluh tahun lagi, mungkin akan ada Liwat III,” ujarnya disambut gelak ketawa hadirin.

“Saya tak tahulah bagaimana kita harus mendidik anak-anak kita hari ini. Anak saya yang berumur 8 tahun membaca akhbar dan bertanya saya apa itu ‘K-Y’, bagaimana saya nak jawab?

“Sana K-Y, sini K-Y, anak saya tanya benda ni boleh makan kah?” selorohnya.

Menurutnya beginilah caranya Barisan Nasional merosakkan minda generasi muda dan berkata bahawa Perdana Menteri Najib Razak seharusnya berasa malu.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Anwar harus dipertahankan kerana beliau juga mangsa ketidakadilan sama sepertinya yang sudah dua kali dipenjarakan secara tidak adil sewaktu zaman pentadbiran Dr Mahathir.

Pendengaran rayuan kes fitnah Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari kelima semalam dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak mengetuai pasukan pendakwaan dilaporkan berkata ‘kebenaran adalah tidak relevan’ dalam prosiding rayuan terbabit.

Menurutnya lagi, ‘mangsa’ liwat Saiful Bukhari Azlan telah membawa pelincir K-Y sendiri dalam pertemuan bersama Anwar untuk ‘melindungi dirinya’.

Penghujahan pihak pendakwa diteruskan hari ini. – Roketkini.com