Berita

Jalan sempena nama Ahmad Nor, pejuang rakyat

GEORGE TOWN, 4 NOV: Demi menghargai jasa pejuang DAP Allahyarham Ahmad Nor kepada rakyat dan negara, Kerajaan Pulau Pinang menamakan sebatang jalan di negeri itu sempena beliau.

Ahmad Nor lahir di Alor Setar, Kedah, pada tahun 1943 dan meninggal dunia pada tahun 2003. Beliau menjadi Ahli Parlimen Melayu DAP pertama selepas menang dalam Pilihanraya Umum 1990 bagi kawasan Bayan Baru.

Sepanjang hidupnya, beliau juga aktif dalam kesatuan pekerja dan pernah menjadi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS, 1983-1986) dan Peninsular Malaysia Customs Officers Union.

Menurut Kerajaan Negeri, Ahmad Nor disanjung semua lapisan masyarakat kerana kelantangan dan keteguhannya memperjuangkan hak pekerja serta rakyat sepanjang penglibatannya dalam DAP dan kesatuan pekerja.

“Beliau sememangnya pemimpin yang berpandangan jauh, disukai ramai, serta pandai berkomunikasi dengan rakyat daripada pelbagai kaum.

“Bagi memperingati jasa dan khidmat Allahyarham kepada rakyat dan negara, Kerajaan Negeri dengan ini menamakan jalan sambungan baru dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke persimpangan Jalan Jelutong/ Jalan Perak/Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim sebagai Jalan Ahmad Nor,” kata Kerajaan Negeri dalam satu kenyataan.

Jalan itu dibina oleh IJM Corp Berhad dengan kos RM24 juta, dan turut menyediakan laluan khas pejalan kaki dan basikal.

Ia bertindak sebagai penyurai lalu lintas di antara Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan kawasan selatan Jalan Jelutong/Jalan Perak dan menjadi jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. – Roketkini.com