Berita

Kertas UPSR bocor, mengapa soalan simpanan tak digunakan?

KUALA LUMPUR, 5 NOV: DAP hari ini mempersoalkan mengapakah prosedur biasa menggunakan kertas soalan simpanan yang disediakan tidak dipakai untuk mencegah berulangnya kes kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, berdasarkan laporan The Financial Daily pada 3 Oktober lalu, Lembaga Peperiksaan lazimnya menyediakan tiga set kertas soalan, justeru sekiranya berlaku kebocoran, maka set simpanan digunakan.

“Saya ingin bertanya, sama ada kertas soalan simpanan bagi UPSR tempoh hari telah disediakan sepertimana dalam peperiksaan SPM.

“Jika ya, mengapa kertas soalan simpanan tidak diguna pakai, khususnya bagi mata pelajaran Sains yang telah diketahui pembocorannya pada 10 September, sehari sebelum ia dijadualkan berlangsung?” soalnya.

Dua orang guru hari ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban berkaitan kes kebocoran kertas soalan UPSR dan sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 28(3) Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980, mereka boleh didenda RM10,000 atau dipenjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Penolong Setiausaha Publisiti itu turut mempersoalkan, mengapa seramai hampir setengah juta calon UPSR terpaksa menunggu sebulan untuk menduduki semula kertas-kertas tersebut.

“Peristiwa ini bukan saja memalukan negara dan menimbulkan kesangsian umum terhadap pengendalian peperiksaan awam tetapi juga mengakibatkan keresahan dan tekanan mental bagi hampir setengah juta murid tahun enam di serata negara.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan harus menjelaskan apakah tatacara operasi standard (SOP) dalam pengendalian peperiksaan awam? Adakah kertas soalan simpanan disediakan bagi UPSR tahun ini, dan mengapa ia tidak diguna-pakai?” tegasnya.

Beliau juga turut mengulangi cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat insiden kebocoran kertas soalan UPSR.

“Bukan saja untuk menyiasat, tetapi juga untuk meneliti penurunan taraf pendidikan secara umum di negara kita akibat masalah dasar yang tidak teliti, tadbir urus tidak cekap dan pembaziran wang awam yang berleluasa,” katanya. – Roketkini.com