Berita

KLIA2: Kos terlebih, DAP gesa kerajaan ambil tindakan terhadap MAHB

KUALA LUMPUR, 4 NOV: DAP mendesak kerajaan agar mengambil tindakan segera terhadap Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kerana telah menyebabkan lebihan kos berbilion ringgit dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, tanggungjawab terletak sepenuhnya di tangan pihak atasan MAHB berikutan keputusan mereka mengambil lebih banyak hutang, yang akhirnya berpotensi menyebabkan kos meningkat tiga kali ganda dari peruntukan awal sebanyak RM1.7 bilion.

“Hasil daripada pengembangan sebanyak RM4 bilion atau lebih membina KLIA2, syarikat itu terpaksa meminjam secara sewenang-wenangnya untuk meningkatkan dana yang diperlukan untuk membiayai lapangan terbang.

“Pada tahun 2010, ia dinaikkan sebanyak RM3.1 bilion melalui 15 tahun program Nota Jangka Pertengahan Islam manakala tahun lalu, dinaikkan lagi RM2.5 bilion menerusi Program Sukuk Senior dan Program Sukuk Subordinat Kekal.

“Pinjaman secara sewenang-wenangnya ini telah mengakibatkan kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada MAHB,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lapangan terbang kos rendah KLIA2 telah berjaya disiapkan tahun lalu dengan kos kira-kira RM4 bilion.

Kos tersebut yang melampaui peruntukan asal sebanyak RM1.7 bilion telah menyebabkan siasatan dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

MAHB juga telah dibebani dengan kontroversi berterusan contohnya seperti tahap keselamatan di kawasan parkir pesawat dan laluan teksi lapangan terbang itu, yang dilaporkan beberapa mengalami banjir sejak ia dibuka.

Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan bahawa kesan beban hutang MAHB telah dinyatakan dalam pendapatan suku ketiga, di mana ia merosot kepada RM10.61 juta pada 30 September tahun ini, kurang 10 peratus daripada RM151.12 juta yang diperoleh dalam keuntungan sebelum cukai dalam tempoh sama tahun lalu.

“Perkara ini menyebabkan MAHB tidak ada pilihan kecuali untuk meningkatkan cukai lapangan terbang dan penumpang untuk menebus kerugian dalam pendapatan, dengan cadangan kepada kenaikan 50 peratus pada caj domestik daripada RM6 hingga RM9 dan lebih dari 100 peratus daripada RM32 kepada RM65 bagi penumpang antarabangsa.

“Selepas bertahun-tahun menafikan implikasi kewangan skandal KLIA2, kita sekarang melihat bahawa beban berbilion ringgit kos berlebihan akan dipindahkan kepada rakyat biasa.

“Lebih buruk lagi, KLIA2 telah kehilangan peluang untuk menjadi hab perjalanan udara kos rendah di Asia Pasifik akibat pengurusan yang teruk dan kawalan lemah kerajaan,” ujarnya. -Roketkini.com