Berita

Pelajar perubatan hanya bertambah di kolej swasta, bukan IPTA?

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang membiarkan bertambahnya pengambilan pelajar perubatan hanya di institut pengajian tinggi swasta (IPTS), namun pada masa sama terus menghadkan tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau membangkitkan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong September lalu, bahawa kerajaan akan meningkatkan pengambilan pelajar jurusan itu di IPTA bagi tahun ini daripada 919 kepada 1019.

Kata Nie Ching, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding pengambilan pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurut jawapan parlimen Kementerian Pendidikan dua hari lalu, jumlah pelajar jurusan perubatan di institut pengajian tinggi awam (IPTA)  pada tahun 2012 sebanyak 2,619, manakala untuk tahun 2013 pula adalah 2,027.

“Ia menurun 61 peratus berbanding tahun 2012, dan 49.7 peratus berbanding tahun 2013,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawapan sama turut menyatakan, jumlah pengambilan pelajar perubatan di 21 IPTS tahun ini jauh lebih banyak berbanding di IPTA, iaitu sebanyak 8,344 tempat.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kalamanathan sebelum ini berkata, jumlah tawaran di IPTA dikurangkan ekoran terlalu ramai doktor pelatih sedia ada di hospital, sehingga ada yang ‘tidak diberikan apa-apa tugasan’.

Dalam jawapan parlimen Kementerian Kesihatan pula, Menteri Datuk Seri Dr Subramaniam menyatakan anggaran graduan perubatan yang akan menjadi doktor pelatih pada untuk lima tahun akan datang; 4490 (2015), 4969 (2016), 5317 (2017), 5589 (2018) dan 5968 (2019).

Tempat terhad sebagai doktor pelatih di hospital

Justeru, Teo mempersoalkan kemampuan kerajaan menyediakan latihan mencukupi bagi graduan tersebut, memandangkan jumlah pengambilan tahun ini berjumlah 9,363 pelajar, jauh lebih banyak berbanding anggaran itu.

“Soalan seterusnya, adakah kita ada kemampuan untuk memberikan latihan mencukupi selepas mereka tamat belajar?”

“Pelajar baru akan menjadi siswazah pada tahun 2019, dan jangan lupa pelajar (perubatan) di luar negara. Mengikut keadaan sekarang, nampaknya lebih 40 peratus daripada mereka tidak mendapat tempat sebagai doktor pelatih di hospital,” katanya.

Tambah Nie Ching, isu ini membuktikan tiadanya komunikasi antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Tangan kanan tidak tahu apa yang tangan kiri buat. Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan perlu berbincang untuk mengatasi masalah ini.

“Kurangnya koordinasi akhirnya akan menjejaskan masa depan pelajar perubatan kita,” katanya lagi. – Roketkini.com