Rencana

Politik Animisme

Menurut sejarah, Melayu ini pada asalnya mengamalkan animisme. Mereka menyembah benda-benda pelik. Jika pokok itu saiz dan rimbun daun, atau akar dan dahannya kelihatan luarbiasa, maka disembahnya.

Jika ada busut, tunggul atau lubuk yang ‘semacam’, juga akan dipujanya. Inilah amalan tok nenek moyang Melayu sebelum Hindu, Buddha, Kristian, dan Islam hadir dan bertapak di Semenanjung.

Hari ini, benda-benda mistik seperti ini masih ada yang mengamalkannya. Tak kira siapa atau apa latar belakangnya. Malah ahli sukan, artis dan politikus turut ada terlibat. Antara mereka, ada yang telah menjadi sejarah dan ada yang belum mencipta sejarah.

Amalan ini datang dengan kepercayaan, secara sedar atau tidak, secara langsung atau tidak. Bagi suku Jawa ada pantang-larangnya, bagi suku Bugis ada puakanya, begitu juga dengan suku-suku etnik yang lain.

Saya tidak bercadang untuk ‘Bercakap Dengan Jin’ dalam rencana ini, tetapi saya ingin bawa fikiran kita melihat hubungkait atau pengaruh kepercayaan mistik ini dalam amalan dan konsep politik orang Melayu, khususnya UMNO.

Ia seakan tabu besar yang begitu sukar difahami, apatah lagi untuk mengubah dalam maksud memajukan budaya politik Melayu.

Bila datangnya Islam, amalan animisme dilabel sebagai ‘syirik’, agar iman dan tauhid penganutnya jelas dan betul. Namun, lama-kelamaan label ini telah membawa transformasi ke atas amalan yang dilabel sebagai khurafat.

Maka, kini kita boleh mendengar ada mantera dimulai atau diakhiri dengan ucapan ‘Bismillah’, ‘Amin’, selawat, istighfar dsb dalam memulai rawatan atau pemujaan ritual dukun.

Dengan kata lain, ungkapan-ungkapan yang ‘Islamik’ telah diasiosasikan dengan jampi serapah. Lantaran itu, seakan kepercayaan mistik ini telah dihalalkan dan seterusnya amalan tersebut boleh diteruskan.

Kita pernah dengar ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat,” maka kepercayaan ini telah menjadi adat yang tidak mati-mati.

Kepercayaan ini juga mempengaruhi konsep budaya Melayu. Jika di kalangan kita memahami budaya Melayu itu sebagai amalan kesenian, seperti tarian, muzik, senibina, serta bahasa dan kesusasteraan, maka bermakna faham itu belum memadai atau belum lengkap.

Maksud budaya Melayu itu juga termasuk faham ‘kepercayaan mistik’ yang telah menjadi adat budayanya sejak berkurun.

Dalam konteks kepercayaan mistik dan amalan politik UMNO pada hari ini, BR1M boleh saja dilihat sama dengan konsep pemakaian susuk yang biasa digunakan untuk kelihatan kuat bagi lelaki atau cantik bagi wanita. Hakikatnya, susuk BR1M ini tidak membawa apa-apa perubahan hakiki dalam sosioekonomi Melayu (majoriti penerima BR1M).  Tetapi itulah yang disukai, diharap dan dibanggakan oleh majoriti ahli UMNO.

Dahulu kala, bagi anak-anak jantan yang sukar memikat gadis pilihan hati, digunakannya minyak dagu. Minyak dagu ini diperolehi dari mayat, minyak ini dipujanya tiap malam Jumaat. Kemudian, dicalitnya minyak dagu ini pada anak dara yang digilainya. Nah, esoknya gadis itu akan menunggu di tangga rumah jejaka tersebut.

Hari ini, jika ada usahawan muda atau yang baru nak memulakan perniagaan, kena ada minyak dagu juga, tetapi bentuknya lain, iaitu perlu ada tandatangan atau surat sokongan daripada Ketua Bahagian, Ketua Cawangan atau kenalan politik untuk mendapatkan dana atau bantuan perniagaan atau lesen, permit dan tender. Berkat ‘Lailahaillah’, maka niat itu akan terkabul.

Tak percaya? Tanyalah Ketua Kampung yang dah pencen.

Begitu juga dengan konsep 1Malaysia. Ini adalah Hantu Raya yang boleh menyerupai pelbagai bentuk dan wajah, mengikut keadaan semasa. Jika silap faham, ia difahami sebagai universal, namun hakikatnya ia plastik.

Jika di kebun, Hantu Raya ini akan berwajah petani yang keletihan. Jika di rumah, Hantu Raya ini boleh menjelma menjadi sang suami yang garang. Jika terserempak di jalanan, Hantu Raya ini boleh menyerupai gaya dan lagak seorang Mat Gian dsb.

Konsep 1Malaysia ini begitu juga, dengan kaum Cina atau India ia berwajah 1Malaysia, bertemu dengan kaum Melayu (Perkasa) ia berubah menjadi Ultra Melayu, dengan golongan agama maka tiba-tiba menyerupai ‘mujahid’ agama. Dengan Amerika, 1Malaysia ini menjadi model moderat. Bila ke Arab, maka menjadi negara Islam.

Hantu Raya jenis ini sangat kuat makan. Sekali makan boleh habis 10 pinggan. Tak percaya tanyalah Tok Dukun 1Malaysia.

Namun demikian, sejarah telah menunjukkan bahawa Melayu boleh berubah. Sekali ia berubah, ia akan setia dengan tiada taranya.