GEORGE TOWN, 5 NOV: Kerajaan Pulau Pinang akan memohon mahkamah menentukan sama ada pengisytiharan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa Pasukan Peronda Sukarela (PPS) adalah pertubuhan haram semalam sah di sisi undang-undang atau tidak.
“Kami akan mendapatkan nasihat daripada pasukan perundangan bagi memulakan proses memohon semakan kehakiman terhadap pengisytiharan itu,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan selepas keputusan dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.
Mengecam tindakan itu kata Guan Eng, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi bertindak secara mala fide (berniat jahat) dengan membuat pengisytiharan itu tanpa menjalankan siasatan rasmi terlebih dahulu.
“Keputusan dibuat tanpa mengendahkan asas keadilan, iaitu mana-mana pihak tidak boleh dihukum tanpa pengadilan. Kementerian langsung tidak menghubungi kerajaan negeri berhubung isu ini bagi membolehkan kita menyangkal dakwaan tidak berasas terhadap PPS.
“Jelas, ini adalah serangan politik terhadap PPS dan kerajaan negeri,” katanya.
Semalam, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff berkata, Zahid membuat pengisytiharan itu di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966, berhubung kuasa menteri mengisytiharkan pertubuhan sama ada menyalahi undang-undang atau tidak.
Kata Mohamad Khalid lagi, segala akaun, aset dan harta PPS akan dibekukan, dan nama, simbol, lambang dan logonya tidak boleh digunakan.
Guan Eng berkata, alasan kegiatan PPS bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara adalah tuduhan jahat yang tidak berasas.
“Kerajaan negeri konsisten menafikan dengan tegas tuduhan tersebut. Polis Pulau Pinang tiada masalah bekerjasama dengan PPS selama empat tahun, jadi kenapa sekarang?” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.
PPS sepanjang penubuhannya konsisten menjalankan tugasnya membendung jenayah dan membantu masyarakat, antaranya dengan membuat rondaan sukarela dan perkhidmatan penyelataman kecemasan.
Sehingga kini, PPS dianggotai 9,002 anggota, dengan 2,970 ahli daripada kaum Melayu, manakala 5,123 daripadanya ialah Cina, dan baki 873 orang lagi terdiri daripada kaum India.
“Hakikat bahawa sehingga kini tiada pendakwaan dibuat di mahkamah terhadap anggota PPS yang ditahan selepas perarakan kemerdekaan 31 Ogos lalu menunjukkan tiada sebarang kes terhadap mereka,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com