Berita

Semua demokrat berkongsi nilai yang sama – Kit Siang

PETALING JAYA, 5 NOV: Demokrat mempunyai persamaan nilai dengan mendaulatkan kebebasan, kesamarataan, dan semangat setiakawan, termasuk demokrat Muslim yang berkongsi nilai dalam fikrah bersumberkan nas Al-Quran.

Ini diperlihatkan melalui gerakan Islam di Tunisia dipimpin Rashid Ghannouchi berasaskan prinsip keadilan, kesamarataan, hak asasi manusia, dan demokrasi, di mana ‘daulah’ tidak sekadar memelihara kebebasan beragama, malah kebebasan hati nurani.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ketika sesi penutup forum Demokrat Muslim Dunia di sini semalam.

Namun katanya, parti En-Nahdah pimpinan Ghannouchi tewas pilihanraya Tunisia minggu lalu, gara-gara gagal menepati harapan rakyat negara itu yang dibelenggu krisis ekonomi serta pengangguran.

En-Nahdah tewas kepada Nida Tunis, sebuah parti sekular yang mempunyai pertalian dengan rejim Zainal Abidin Ben Ali yang digulingkan revolusi Tunisia tiga tahun lalu.

“En-Nahdah diberikan mandat untuk membetulkan demikian banyak permasalahan sosio-ekonomi masyarakat Tunisia. Malangnya persepsi umum pengundi menunjukkan parti tersebut telah gagal menepati janjinya.

“Dalam konteks ketidakpuasan hati orang ramai terhadap pengurusan ekonomi yang menyebabkan En-Nahdah tewas dalam pilihanraya baru-baru ini,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Dalam sesi perbincangan sebelumnya, pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Maszlee Malik berkata, bahawa Islam politik tidak mempunyai masa depan.

“Masa depan tidak bersama Islam politik, tidak bersama para Islamis, masa depan juga tidak bersama parti politik berasaskan Islam di negara-negara umat Islam. Itu hakikatnya,” kata Maszlee.

“Masa depan adalah bersama masyarakat terbuka (open society). Islam politik mahupun Muslim demokrat tidak boleh hidup secara eksklusif,” tambah beliau.

Forum Muslim Demokrat sejak dua hari lalu bersidang membincangkan masa depan Islam dalam kerangka demokrasi berikutan perkembangan pasca Arab Spring yang akhirnya menyaksikan kekalahan En-Nahdah di Tunisia dan penolakan terhadap Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Masalahnya ialah ekonomi, bukan agama

Menurut Kit Siang, adalah lebih produktif membincangkan dasar ekonomi dan sosial, di saat Malaysia mengalami kesenjangan ekonomi paling teruk di rantau Asia Tenggara.

Ujar Kit Siang, masalah sedemikian berpunca akibat pemusatan kekayaan kepada golongan elit dengan kepentingan politik.

“DAP dan Pakatan Rakyat komited memperkenalkan pembaharuan bagi memastikan ruang demokrasi lebih besar serta ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

“Kita mahu meningkatkan mutu kehidupan rakyat Malaysia dengan mengurangkan jurang pendapatan melalui  usaha menangani rasuah dan kapitalisme yang dimonopoli kerajaan,” tegasnya.

Forum Muslim Demokrat Dunia dianjurkan Institut Kajian Dasar dengan kerjasama Sasakawa Peach Foundation, Habibie Centre Indonesia dan badan pemikir Turki SETA. – Roketkini.com